Sabtu, 8 Julai 2017 | 2:17pm
SEBAHAGIAN murid yang menyertai Seminar Didik Rakyat UPSR anjuran Berita Harian bersama Yayasan Bank Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar. - Foto L.Manimaran

'Arwah ibu bapa pesan jadi ustaz'

Gambar oleh L Manimaran

PARIT BUNTAR: Pesanan arwah ibu bapa supaya menjadi ustaz dan berbakti kepada masyarakat menjadi pendorong semangat bagi Ismail Abdul Rahman, 12, untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), akhir tahun ini.

Murid Sekolah Kebangsaan Kampung Tua, Semanggol itu yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya sejak beliau berusia lima tahun, kini tinggal bersama kakak sulungnya, Norliza Abdul Rahman, yang sudah berkeluarga.

Anak bongsu daripada sembilan adik-beradik itu masih kecil ketika ibu bapanya meninggal dunia dalam kemalangan motosikal dan pesanan itu disampaikan oleh kakaknya yang kini mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga.

"Saya berharap untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR ini, sekali gus dapat membantu saya untuk mencapai cita-cita menjadi ustaz apabila besar nanti seperti yang diharapkan oleh arwah ibu bapa," katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran Seminar Didik Rakyat UPSR, di sini, baru-baru ini.

Seminar sehari itu dianjurkan oleh Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama BH. Ia dirasmikan oleh Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Abu Bakar Mat Ali.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Kerian, Abd Wahid Ramli; Pengurus Bank Rakyat Cawangan Bagan Serai, Abd Ghani Abdullah; Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jafar dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangssan Panglima Bukit Gantang, Mohd Saad Hashim.

Ismail berkata, seminar itu amat menyeronokkan dan banyak memberi panduan kepadanya untuk memperbaiki pencapaian.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, usaha agensi seperti YBR menganjurkan seminar bimbingan peperiksaan bagi murid di seluruh negara harus dipuji dan menjadi contoh kepada korporat lain.

Beliau juga berharap, murid yang hadir dapat memanfaatkan setiap bimbingan oleh guru pakar dan menghargai pengorbanan ibu bapa untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan kelak," katanya.

INFO

Seminar Didik Rakyat

* Membabitkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Pentaksiran Tingkatan 3 dan Sijil Pelajaran Malaysia.

* Seramai 200 murid daripada 43 sekolah di sekitar daerah Kerian menyertai program sehari di Parit Buntar.

Berita Harian X