Sabtu, 8 Julai 2017 | 8:00am

Farshila ubah landskap Pharmaniaga


FARSHILA sebagai satu-satunya wanita Melayu yang mengetuai syarikat farmaseutikal negara. - Foto Osman Adnan

SHAH ALAM: Keberanian dan semangat jitu meletakkan Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga), Datuk Farshila Emran, 51, sebagai satu-satunya wanita Melayu yang mengetuai syarikat farmaseutikal negara, iaitu industri dikawal-selia ketat dan kompetitif.

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu berorientasikan pembuatan produk farmaseutikal generik, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemasaran dan jualan, pergudangan dan pengedaran produk farmaseutikal dan perubatan.

Pharmaniaga yang tersenarai di Bursa Malaysia juga adalah pembekal dan pemasangan alatan perubatan ke hospital serta farmasi komuniti, diterajui Farshila pada 2011, selari pengambilalihan syarikat oleh Boustead Holdings Berhad.

Buktikan kredibiliti

Kredibiliti Farshila terbukti apabila berjaya melaksanakan pelbagai pelan transformasi dalam tempoh enam bulan pertamanya menerajui syarikat berkenaan, termasuk memendekkan tempoh penghantaran produk farmaseutikal ke lebih 1,500 hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara daripada 60 hari kepada tujuh hari.

Ini selari pengalaman luas beliau dalam perniagaan farmaseutikal sebelum ini, sehingga berjaya mengubah landskap syarikat penjagaan kesihatan bersepadu yang terbesar negara itu untuk menjadi lebih dinamik dan berkembang pesat.

Beliau berkata, industri farmaseutikal sangat mencabar kerana selain daripada dikawal selia ketat pihak berkuasa, ia perlu mematuhi pelbagai piawaian dan standard antarabangsa.

"Standard tinggi ini meletakkan hanya mereka yang terbaik saja bekerja dalam industri ini dan memerlukan kerja berpasukan yang mantap, di mana setiap kakitangan daripada peringkat bawahan hinggalah ke pengurusan tertinggi mempunyai peranan penting.


KREDIBILITI Farshila terbukti apabila berjaya melaksanakan pelbagai pelan transformasi dalam tempoh enam bulan pertamanya menerajui Pharmaniaga. - Foto Osman Adnan

Cabaran penuhi piawaian

"Sektor ini mempunyai peranan besar, bukan saja menyumbang penjanaan ekonomi negara, juga penting dalam memastikan kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan masyarakat," katanya ketika temubual di pejabatnya, di sini.

Bagi menghasilkan sesuatu jenis ubat, contohnya, proses R&D akan mengambil masa lama dan selepas dihasilkan ia perlu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), iaitu produk akan melalui pelbagai ujian yang mengambil masa kira-kira dua tahun.

Katanya, ujian itu penting bagi memastikan produk memenuhi piawaian yang ditetapkan supaya disahkan berkualiti, berkesan dan selamat untuk kegunaan manusia.

"Penghasilan ubat-ubatan generik boleh mengambil masa empat hingga lima tahun dari mula proses R&D sehinggalah ia dipasarkan kepada orang ramai tetapi kelestariannya bertahan berpuluh-puluh tahun di pasaran.

Budaya kerja kondusif

Justeru, kita menyasarkan untuk membangunkan 250 produk baharu termasuk produk kardiovaskular, pernafasan, pencernaan, ubat tahan sakit, antijangkitan dan kencing manis menjelang 2024," katanya.

Sehubungan itu, Farshila menekankan budaya kerja kondusif kerana kecemerlangan syarikat bergantung kepada daya usaha serta komitmen semua kakitangan.

"Keutuhan Pharmaniaga ini bukan hanya dari usaha dan strategi korporat pengurusan tertinggi, tetapi sumbangan bersama kakitangan yang ikhlas dan jujur dalam bekerja.

"Saya sentiasa menekankan ketelitian dan disiplin dalam kerja, dan melaksanakan kerja dengan penuh semangat dalam membantu pesakit yang memerlukan khidmat dan ubat-ubatan yang dibekalkan," katanya.


FARSHILA bersama kakitangannya ketika memeriksa barangan di gudang. - Foto Osman Adnan

Kenali rapat kakitangan

Beliau yang memimpin 3,000 kakitangan dengan lima kilang farmaseutikal di Malaysia dan satu di Indonesia, menyifatkan cabaran utama ketika mula menerajui syarikat itu adalah mengubah budaya kerja untuk menjadi lebih baik.

"Saya mengambil pendekatan untuk mengenali rapat semua kakitangan dan melaksanakan pelbagai inisiatif baru termasuklah memberikan cuti hari lahir kerana penghargaan penting untuk meningkatkan motivasi kakitangan.

"Selain itu, saya jalankan kempen Do It Right, suatu program pembentukan budaya yang berterusan bagi memastikan kualiti kerja dan produk konsisten. Alhamdulillah, pembentukan budaya ini diterima baik," katanya.

PROFIL Farshila Emran

Usia: 51 tahun

Asal: Kuala Lumpur

Pencapaian:

  • Mengetuai proses perundingan dan pengambilalihan lima syarikat farmaseutikal di dalam dan luar negara, termasuk Pharmaniaga.
  • Meningkatkan pendapatan Pharmaniaga daripada RM1.1 billion pada 2011 kepada RM2.2 billion pada 2016.
  • Membuka rangkaian farmasi komuniti, RoyalePharma yang kini mempunyai tujuh cawangan.
  • Pharmaniaga dinobatkan Anugerah Majikan 1Malaysia (Syarikat Besar /GLC) dan Anugerah Majikan Berdaya Saing Glokal sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2017.


PENGARAH Urusan Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga), Datuk Farshila Emran. - Foto Osman Adnan
Berita Harian X