Jumaat, 7 Julai 2017 | 9:11pm

Perancis had guna sawit dalam biofuel


MENTERI Alam Sekitar, Nicolas Hulot. - Foto Reuters

PARIS: Perancis mengambil langkah mengehadkan penggunaan sawit bagi menghasilkan bahan api bagi mengurangkan penebangan hutan di negara asalnya, kata Menteri Alam Sekitar, Nicolas Hulot.

Perancis sebelum ini membantah penggunaan lain sawit. Beberapa rang undang-undang dibentangkan di Parlimen sejak 2012 yang mencadangkan cukai khas ke atas penggunaannya di dalam makanan, memetik kerosakan alam sekitar dicetuskan oleh perladangan.

Dua pengeluar sawit terbesar dunia, Indonesia dan Malaysia menentang cukai sedemikian, dengan berkata ia satu diskriminasi dan melanggar peraturan perdagangan antarabangsa.

"Kami akan menutup peluang yang menawarkan kemungkinan penggunaan sawit dalam bahan api," kata Hulot semasa membentangkan rancangan menangani perubahan iklim.

Beliau tidak memperincikan langkah yang dirancang namun berkata mahu menghentikan 'penebangan hutan diimport' di Perancis, dengan memetik pengeluaran kacang soya dan sawit tidak lestari di negara asalnya.

Hulot juga mengkritik import sebahagian produk kaya protein yang digunakan dalam bahan makanan haiwan, dengan berkata beliau mahu menghentikan pergantungan terhadap produk dari Brazil yang dikeluarkan dengan kaedah merosakkan hutan hujan Amazon.

"Segala perkara yang tidak keruan ini mahu dihentikan," katanya.

Hulot tidak menamakan produk berkenaan, namun kacang soya adalah hasil tanaman kaya protein dari Brazil yang biasanya digunakan sebagai bahan makanan haiwan di Perancis.

Avril, pengeluar biodiesel terbesar Eropah menyambut baik kenyataan Hulot itu.

Syarikat itu menggunakan biji sesawi Perancis sebagai bahan utama biodiesel, dalam satu proses yang menghasilkan makanan haiwan sebagai produk sampingan dinamakan sebagai "rapemeal".

"Kumpulan Avril menyokong semua inisiatif yang memihak biofuel menghasilkan protein untuk makanan haiwan dan melarang biofuel dibuat daripada sawit," kata Ketua Eksekutif Avril, Jean-Philippe Puig kepada Reuters menerusi e-mel.

Beliau berkata, sebarang tindakan tidak sepatutnya perlu dihadkan kepada Perancis, namun perlu dilaksanakan di peringkat Eropah. - Reuters

Berita Harian X