Jumaat, 7 Julai 2017 | 9:07pm

Ahmad Khairul, Muhammad Syahmi tak lemah semangat


PEMAIN skuad bola sepak bawah 22 tahun negara (B-22), Ahmad Khairul Anuar Zamri (kiri) dan Muhammad Syahmi Safari ada majlis pelancaran but bola sepak terbaharu keluaran Puma, di kuala Lumpur, semalam. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Dua pemain skuad bola sepak bawah 22 tahun negara (B-22), Ahmad Khairul Anuar Zamri, Muhammad Syahmi Safari tidak mahu terlalu memikirkan soal isu yang melanda pasukan ketika ini.

Walaupun tanpa kelibat rakan lain, mereka mahu kekal bersikap positif mempersiapkan diri bagi menghadapi kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bangkok, Thailand pada 19 hingga 23 Julai ini dan Sukan SEA Kuala Lumpur.

"Apa yang berlaku tidak melemahkan semangat saya kerana saya tahu aksi di kelayakan AFC B-23 adalah misi penting.

"Daripada dulu lagi pemain tidak dilepaskan dan saya kena kekal berfikir secara positif," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran but bola sepak terbaharu keluaran Puma, dekat sini, semalam.

But terbaharu, Puma One itu mempunyai ciri-ciri berteraskan Fit, Fast, Feel yang menjurus kepada aspek kepantasan dan keselesaan pemakai.

Selepas hanya enam pemain melaporkan diri, kini hanya tinggal Ahmad Khairul dan Muhammad Syahmi yang akan kekal menjalani proses pemulihan daripada kecederaan manakala baki empat lagi dilepaskan untuk kembali bersama pasukan masing-masing.

Jadual padat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) menjadi punca kepada beberapa pasukan mengambil keputusan tidak melepaskan pemain mereka melaporkan diri kepada pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Perkembangan ini menyukarkan Kim Swee buat percaturan bagi menghadapi aksi persahabatan menentang B-22 Myanmar di Stadium Shah Alam.

Bagi Ahmad Khairul atau lebih dikenali sebagai Beto, beliau tidak sabar untuk menyertai latihan penuh pasukan dan semua pemain perlu lapor diri pada 12 Julai ini.

"Jurulatih pun sudah mengadakan perbincangan dan mereka akan dilepaskan.

"Mahu atau tidak kelab kena lepaskan. Tinggal beberapa hari lagi untuk aksi bermula.

"Jadi sudah tidak ada masa untuk fikir benda lain sebaliknya perlu beri lebih fokus untuk persiapan pasukan," katanya.

19 dibaca
Berita Harian X