Jumaat, 7 Julai 2017 | 2:17pm

Mazlan dilantik Ketua Polis Selangor


KETUA Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat bertukar dokumen serah tugas dengan Ketua Polis Selangor Baharu Datuk Mazlan Mansor (kanan) sambil disaksikan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Sharif (tengah) di Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. - Foto Roslin Mat

SHAH ALAM: Datuk Mazlan Mansor dilantik sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu berkuat kuasa hari ini, menggantikan Datuk Abdul Samah Mat yang bersara wajib.   

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini.  

Mazlan, 57 sebelum ini bertugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak, selain pernah menjawat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.  

Sementara itu, Mazlan ketika ditemui pemberita, berkata fokus utamanya ialah untuk melaksanakan arahan seperti digariskan Ketua Polis Negara, iaitu mengawal dan mengekang kadar jenayah, narkotik dan komersial, khususnya ancaman media sosial.  

"Selain meneruskan segala usaha yang dilakukan oleh bekas Ketua Polis Selangor terdahulu, saya juga akan memastikan sistem penyampaian berada pada tahap memuaskan serta memperkasakan integriti agar imej pasukan sentiasa dijaga," katanya.

Berita Harian X