Jumaat, 7 Julai 2017 | 12:40pm

3 aktiviti ekonomi dipantau rapi


MAT Ali Hassan (lima dari kanan), dan Norhazni Mat Sari (empat dari kanan) beramah mesra bersama wakil pengusaha kilang kelapa sawit mentah Negeri Sembilan pada Majlis Penyerahan Lesen Premis Yang Ditetapkan Kilang Kelapa Sawit Mentah Negeri Sembilan di Pejabat Alam Sekitar Negeri Sembilan. Turut hadir Abu Ubaidah Redza (lima dari kiri). - Foto Hasriyasyah Sabudin

SEREMBAN: Tiga jenis aktiviti ekonomi iaitu kilang sawit mentah, kuari dan penternakan ayam, dipantau rapi oleh kerajaan negeri bagi memastikan aktiviti berkenaan tidak menimbulkan masalah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Mat Ali Hassan, berkata aktiviti berkenaan berpotensi menjejaskan alam sekeliling dan penduduk sekitar, jika dibiar beroperasi tanpa pemantauan.

Katanya, pemantauan dilakukan dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pejabat Tanah dan Galian.

"Setakat ini, kerajaan negeri berpuas hati kerana aktiviti seperti kilang sawit mentah mematuhi pelbagai peraturan ditetapkan, malah semua 16 kilang di negeri ini mendapat lesen yang dikeluarkan oleh JAS," katanya selepas majlis penyerahan lesen kepada kilang sawit mentah di pejabat JAS di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Datuk Abu Ubaidah Redza dan Pengarah JAS Negeri Sembilan, Norhazni Mat Sari.

Bagaimanapun, Mat Ali berkata, jabatan dan agensi kerajaan berkenaan tidak mampu memantau secara berterusan menyebabkan kerajaan negeri mahu semua pihak melaksanakan Peraturan Pematuhan Kendiri (GSR) yang JAS perkenalkan sejak tahun lalu.

Katanya, GSR mewajibkan pihak syarikat mempunyai dasar yang mencerminkan komitmen untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar serta perlu dihebahkan kepada kakitangan dan semua pihak berkaitan operasi kilang.

Selain itu, katanya satu jawatankuasa perlu ditubuhkan dan melantik seorang pegawai yang dipertanggungjawabkan memastikan operasi mematuhi peraturan ditetapkan.

Berita Harian X