Jumaat, 7 Julai 2017 | 9:42am

Sokong Kukup-Tanjung Piai jadi kawasan PSSA


Ayub Rahmat

JOHOR BAHRU: Cadangan menjadikan perairan Pulau Kukup-Tanjung Piai, Pontian dekat sini, sebagai kawasan Penentuan Wilayah Laut Sensitif (PSSA) mendapat sokongan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata kertas cadangan mengenai usaha itu dibentangkan pada persidangan Jawatankuasa Pengawalan Alam Sekitar Maritim (MEPC 71) di London, semalam.

Katanya, perairan berkenaan dicadangkan sebagai PSSA bagi mengurangkan tekanan daripada perkapalan antarabangsa yang menggunakan Selat Melaka dan Selat Singapura.

Ayub berkata, perairan berkenaan juga adalah kawasan unik yang menyokong industri perikanan, akuakultur dan pelancongan.

"Lebih 60 kilometer kawasan perairan antara Pulau Kukup dan Tanjung Piai dicadangkan sebagai kawasan PSSA dan dua langkah kawalan turut dicadangkan iaitu sebagai kawasan larangan dan tidak boleh berlabuh.

"Kertas cadangan ini mendapat sokongan di peringkat antarabangsa iaitu Singapura, Chile, Jepun, Peru, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Australia.

"Ia (kertas cadangan) juga dibahaskan di peringkat kumpulan teknikal dan akan dibawa ke Komunikasi Navigasi, Mencari dan Menyelamat (NSCR) bagi perbincangan serta persetujuan daripada negara yang menggunakan perairan Selat Melaka, dijadualkan Februari tahun depan," katanya dalam kenyataan di sini.

Persidangan MEPC disertai 101 negara diadakan di Ibu Pejabat Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) di London, selama lima hari, bermula Isnin lalu.

Ia turut membincangkan isu dan penyelesaian terhadap impak perkapalan terhadap alam sekitar dan antara isu yang dibahaskan termasuk PSSA, Gas Rumah Hijau dan sebagainya.

PSSA adalah kawasan memerlukan perlindungan khas daripada IMO disebabkan oleh nilai ekologi, ekonomi dan saintifik yang boleh terjejas akibat aktiviti perkapalan terutamanya tumpahan minyak, pembuangan sampah dan lambakan habuk kayu ketika mencuci kapal.

Ayub berkata, sembilan delegasi dari Malaysia menyertai persidangan berkenaan yang diketuai beliau sendiri selain wakil daripada Kementerian Pengangkutan, Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Jabatan Laut Malaysia, Institut Maritim Malaysia (MIMA), Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) dan Atase Maritim Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom.

"Delegasi turut diraikan dalam majlis makan malam oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Ahmad Rasidi Hafizi selain bertukar pandangan mengenai usaha kerajaan Johor terutama kesungguhan dan komitmen Menteri Besar Johor terhadap PSSA ini," katanya.

Berita Harian X