Jumaat, 7 Julai 2017 | 7:00am
RUANG pemandu Proton Perdana varian 2.0. - Foto Yazit Razali
LAMPU belakang LED berbentuk-C dihubungkan dengan bar krom merentangi penutup but serta menempatkan logo 3D Proton yang besar. - Foto Yazit Razali

Kekal dalam kelas tersendiri


SENTUHAN menarik pada reka bentuk Proton Perdana generasi ke-4. - Foto Yazit Razali

JENAMA model kenderaan daripada Proton Holdings Bhd (PROTON) tidak perlu diperkenalkan lagi kerana hampir kesemua mengenali setiap model keluaran PROTON.

Sudah pasti model yang menjadi idaman kepada mereka adalah Perdana yang dilihat sebagai antara model ekslusif dan mempunyai elemen tersendiri ketika berada di atas jalan raya.

BH Auto baru-baru ini kembali menguji model Perdana baharu yang dilancarkan pada 2016 yang lalu. Ternyata model ini secara luarannya tampak mewah, dan apabila memasuki ruang dalamannya memberikan keselesaan.

Tidak hairanlah jika Perdana terus menjadi pilihan walaupun menyepi daripada segmen sedan eksekutif tempatan sejak pemberhentian pengeluaran Perdana V6 kira-kira 15 tahun lalu.

Dapat sentuhan Honda

Perdana baharu didatangkan dalam dua varian -2.0 liter dan 2.4 liter yang mengekalkan enjin R20A3 SOHC i-VTEC yang diambil terus daripada Accord, dengan dipacu kotak gear lima-kelajuan automatik.

Walaupun mewarisi model lain, sebahagian besar reka bentuk luaran Perdana baharu diberi nafas baharu oleh jurutera Proton. Ia termasuk lampu hadapan, gril, bampar hadapan, bonet, bahagian sisi dan penampilan bahagian belakang, selain imej keseluruhan disuntik elemen sporty yang tidak terlalu agresif.

Logo 3D Proton lebih besar

Lampu belakang LED berbentuk-C dihubungkan dengan bar krom merentangi penutup but serta menempatkan logo 3D Proton yang besar. Bampar belakang dilengkapi kemasan ala-diffuser yang turut menempatkan ruang nombor plat dan dua lampu reflektor.

Kemasan dalaman kelihatan hampir sama Namun, ia menerima beberapa peningkatan seperti penggunaan skrin dan sistem hiburan baharu, yang terletak di bahagian bawah butang kawalan pendingin hawa, selain sistem navigasi.

Model ini menawarkan keselesaan ruang kabin amat memuaskan, sama ada tempat duduk penumpang depan atau belakang, selain ruang kaki serta kepala yang lebih daripada mencukupi.


ENJIN R20 2.0L SOHC dengan janaan kuasa 154 hp pada 6,300 rpm dan tork 189 Nm pada 4,300 rpm. - Foto Yazit Razali

Enjin R20 2.0L SOHC

Ruangan but juga luas hingga boleh memuatkan seorang dewasa. Ia dilengkapi kerusi campuran kulit dan fabrik dengan kabin gelap sepenuhnya.

Dari segi prestasi enjin dan pengendalian, ia dijana enjin R20 2.0L SOHC dengan janaan kuasa 154 hp pada 6,300 rpm dan tork 189 Nm pada 4,300 rpm, ia berupaya memberikan kuasa pecutan mencukupi, selain respon pantas sama ada bagi pecutan, kilasan stereng dan ketika membrek.

Untuk keselamatan pemandu dan penumpang, varian 2.0 liter dilengkap empat beg udara, sistem brek ABS serta EBD, penderia parkir hadapan dan belakang, tingkap kuasa dengan fungsi anti perangkap untuk semua bahagian serta cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak.


RUANG belakang Proton Perdana varian 2.0. - Foto Yazit Razali

Info
Proton Perdana 2.0 Liter

  • Enjin 2.0 liter SOHC 4 silinder, 16 injap, SOHC
  • Kuasa Maksimum 154hp pada 6,300 rpm
  • Tork Maksimum 189Nm pada 4,300 rpm
  • Roda aloi 17-inci dengan tayar bersaiz 225/50R17
  • Panjang 4,999 mm
  • Lebar 1,845 mm
  • Tinggi 1,475 mm
  • Jarak Roda 2,800 mm
  • Berat 1,510 kg
Berita Harian X