Khamis, 6 Julai 2017 | 5:31pm

Polis cedera dirempuh 2 pengedar dadah


SEORANG anggota polis cedera selepas terjatuh akibat dirempuh dua pengedar dadah yang menunggang sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat bandar baru Kuala Rompin, tengah malam tadi. - Foto ihsan PDRM

ROMPIN: Seorang anggota polis cedera selepas terjatuh akibat dirempuh dua pengedar dadah yang menunggang sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat bandar baru Kuala Rompin, dekat sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.06 tengah malam itu, anggota berusia 35 tahun dan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin itu mengalami luka di belakang badan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor, berkata suspek bertindak sedemikian selepas menyedari kehadiran anggota itu yang cuba menahannya.

"Namun, kedua-dua suspek berkenaan gagal melarikan diri apabila berjaya ditahan anggota lain," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis menemui bungkusan plastik yang mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat 31.60 gram bernilai kira-kira RM1,000.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman selama dua minggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

17 dibaca
Berita Harian X