Khamis, 6 Julai 2017 | 4:40pm

Maut rempuh belakang lori


ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 53.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, Kluang, pagi tadi. - Foto ihsan PDRM

KLUANG: Seorang lelaki maut selepas merempuh belakang lori, dipercayai akibat memandu dalam keadaan mengantuk dalam kemalangan di Kilometer 53.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, Zulkarnain Masood, 40, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata kemalangan berkenaan membabitkan tiga kenderaan, dipercayai akibat pemandu yang memandu dalam keadaan mengantuk dan keletihan.

"Kemalangan berlaku apabila Proton Perdana yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju Johor Bahru tiba-tiba merempuh belakang sebuah lori yang sedang bergerak di hadapannya.

"Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan berkenaan terbabas ke laluan kanan lebuh raya itu, sebelum tayar gantian di belakang lori itu tercampak ke bahagian kiri jalan.

"Tayar berkenaan kemudian dirempuh pula sebuah kereta Perodua Viva yang berada di lorong kiri, namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Mohamad berkata, kes berkenaan masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X