Khamis, 6 Julai 2017 | 2:23pm

MCPF sokong Majlis Sosial Negara tangani isu buli


NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Edmund Samunting

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menghargai tindakan pantas kerajaan membawa isu gejala buli dalam kalangan pelajar sebagai salah satu agenda dalam Mesyuarat Majlis Sosial Negara akan datang.

Naib Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata, ia adalah platform yang sesuai untuk membincangkan pelbagai masalah sosial terutamanya buli dan dera.

Katanya, Majlis Sosial Negara perlu mencari punca yang menyebabkan gejala buli dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan guru.

"Masalah buli dan dera ini jika tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan pelbagai masalah besar yang lain termasuk jenayah kekerasan dan gangsterisme.

"Oleh itu, ia perlu diatasi di peringkat awal sebelum ia menjadi barah yang merebak dan sukar diubati," katanya dalam satu kenyataan.

Lam Thye berkata penilaian terhadap kemahiran dan pengawasan keibubapaan, serta sistem pendidikan di sekolah juga wajar dilaksanakan.

"Kita perlu menilai semula sama ada ia disebabkan kelemahan dari segi kemahiran keibubapaan, sistem pendidikan moral di sekolah atau pengaruh dari luar seperti gangsterisme dan lambakan filem dan drama yang mengandungi adegan ganas.

"Pemantauan terhadap remaja juga perlu dilakukan agar mereka tidak bergaul dengan rakan sebaya yang negatif, yang menjadi faktor utama yang mempengaruhi perkembangan siasah mereka.

"Setelah dikenal pasti punca bagi setiap masalah tersebut, Majlis Sosial Negara perlu mencari jalan penyelesaian untuk mengatasinya sehingga ke peringkat akar umbi," katanya.

Justeru, semua pihak perlu membantu pihak berkuasa menangani masalah ini termasuk ibu bapa dan guru yang perlu mendidik anak-anak dan pelajar mereka supaya dapat membezakan perkara yang baik dan buruk.

Berita Harian X