Khamis, 6 Julai 2017 | 12:46pm

Naik taraf LTAS selesai Ogos ini


LAPANGAN Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) .

KULAI: Kerja menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini, yang mencecah kos RM7 juta dijangka siap hujung bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, berkata projek itu yang dimulakan pada Oktober tahun lalu kini sudah siap hampir 80 peratus dengan fokus utama diberi kepada aspek keselamatan.

Katanya, langkah itu bertujuan memenuhi keperluan peraturan untuk mengasingkan penumpang domestik serta antarabangsa ketika pelepasan dan ketibaan.

Siew Kiong berkata, kerja menaik taraf itu juga bagi menampung peningkatan pergerakan penumpang disebabkan pengenalan destinasi baharu serta penambahan kekerapan penerbangan sejak kebelakangan ini.

"Kini LTAS menawarkan perkhidmatan ke 11 destinasi domestik dan lima (antarabangsa) dengan 610 kekerapan penerbangan setiap minggu.

"Berdasarkan statistik LTAS , jumlah pengguna juga mengalami peningkatan sebanyak 12.8 peratus daripada 2.58 juta orang pada 2015 kepada 2.83 juta pada tahun lalu.

"Rekod ini juga terus menunjukkan prestasi positif bagi tempoh enam bulan tahun ini apabila 1.54 juta pengguna dicatatkan berbanding 1.36 juta bagi tempoh sama tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke LTAS selain turut meninjau kerja menaik taraf berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Tourism Johor, Mohd Shukri Mohd Masbah dan Ketua Pegawai Eksekutif LTAS, Md Derick Basir.

Siew Kiong berkata, kerja naik taraf itu juga membabitkan penambahan lapan unit kaunter daftar masuk serta sistem kendalian bagasi.

Katanya, selain itu turut dipasang 44 unit baharu sistem paparan maklumat penerbangan dan penambahan empat unit mesin pengimbas.

"Tambahan 74 unit kamera litar tertutup (CCTV) turut dipasang dengan jumlah keseluruhan 148 CCTV sedia ada di LTAS," katanya.

Berita Harian X