Khamis, 6 Julai 2017 | 9:37am

Remaja maut kereta rempuh tiang elektrik

DUNGUN: Seorang remaja terbunuh manakala abang iparnya parah selepas kereta yang dinaikinya terbabas dan merempuh dua batang tiang elektrik di Kilometer 66.7, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Batu Pelanduk, Kuala Abang, awal pagi ini. 

Dalam kejadian pada kira-kira jam 5.15 pagi itu, Muhammad Hafiza Che Hashim, 18, penumpang di bahagian belakang maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan.  

Abang iparnya,  Mohd Firdaus Abdullah, 23, parah manakala pemandu kenderaan terbabit,  Ahmad Amirul Hakim Ahmad Rahadian, 21, yang juga sepupu mangsa hanya cedera ringan. 

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta Honda Accord yang dipandu Ahmad Amirul terbabas selepas melalui satu selekoh. 

Kereta terbabit merempuh dua batang tiang elektrik di tepi jalan sebelum terhumban ke dalam parit. 

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Dungun manakala jenazah Muhammad Hafiza dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Berita Harian X