Khamis, 6 Julai 2017 | 12:13am

5 mayat pelombong tertimbus ditemui

ACCRA: Lima daripada 17 pelombong haram yang tertimbus dalam runtuhan lombong emas haram ditemui pada hari keempat misi mencari dan menyelamat, hari ini.

Lombong emas terbiar yang terletak di Prestea-Nsuta di wilayah barat Ghana itu, dipercayai runtuh Ahad lalu, ketika semua pelombong terbabit sedang keluar dan menghampiri permukaan lombong. Sebelum ini, hanya satu mayat ditemui.

Timbalan Menteri Tanah dan Sumber Asli Ghana, Benito Owusu-Bio yang melawat lokasi kejadian mengesahkan penemuan lima mayat berkenaan.

"Pasukan penyelamat sudah memaklumkan bahawa mereka menemui beberapa mayat, tetapi buat masa ini hanya boleh mengeluarkan lima daripadanya.

"Mereka terpaksa mengalih dan membersihkan serpihan batu terlebih dahulu bagi memudahkan kerja-kerja mengeluarkan mayat mangsa," katanya kepada stesen radio tempatan, Empire FM.

Selain itu, Owusu-Bio berkata, ambulans turut ditempatkan di lokasi insiden, bagi menghadapi kemungkinan sekiranya ada pelombong yang terselamat.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat terpaksa dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelak sebarang runtuhan susulan. - AFP

Berita Harian X