Rabu, 5 Julai 2017 | 8:26pm

Kelindan lori balak terbalik di LPT1 maut

KUANTAN: Kelindan lori balak yang terbalik di Kilometer 228.1 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dari arah Kuantan menghala Gambang dekat sini, kira-kira jam 5 petang tadi, meninggal dunia selepas tersepit selama sejam.

Difahamkan, operasi mengeluarkan mangsa tersepit yang masih belum dapat dikenal pasti bermula jam 6 petang tadi dan selesai sejam kemudian sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang ketika dihubungi berkata, pemandunya yang cedera pula dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk rawatan lanjut.

"Kita turut melaporkan kejadian kemalangan kepada polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Kita juga berterima kasih kepada pengguna LPT 1 yang bekerjasama dengan petugas konsesi lebuh raya berkenaan, ANIH Berhad untuk mengalihkan beberapa batang balak bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas di situ.

"Lori berkenaan yang dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Gambang dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik secara melintang di kawasan lebuh raya dua lorong itu," katanya di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, ANIH Berhad turut menyediakan laluan kontra kepada pengguna lebuh raya untuk memastikan kelancaran trafik.

Berita Harian X