Rabu, 5 Julai 2017 | 7:02pm

KPDNKK jumpa pengusaha stesen minyak minggu depan

DATUK Seri Hamzah Zainudin bermesra dengan tetamu yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPDNKK 2017 di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan bertemu pengusaha stesen minyak pada minggu depan sebelum memutuskan formula yang akan diambil bagi penetapan harga minyak.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, buat masa ini penentuan harga minyak dibuat secara mingguan pada setiap Rabu.

"Penentuan harga minyak mingguan ini kita akan laksanakan sehinggalah semua pihak yang terbabit iaitu pengusaha stesen minyak, syarikat minyak dan pengguna benar-benar memahami tanggungjawab mereka.

"Sebagai contoh, hari ini semua pihak sudah bersedia untuk menanti harga mingguan yang dikeluarkan pada 6 petang," katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka KPDNKK, hari ini.

Formula penetapan harga minyak akan diperkenalkan bagi membantu pengusaha stesen minyak yang mengalami kerugian apabila harga minyak turun.

Satu pendekatan menang-menang akan diambil bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat daripada formula ini.

Ditanya berhubung penetapan harga harian, beliau berkata ia akan dilaksanakan apabila rakyat sudah cukup bersedia menghadapinya.

"Apabila harga harian ditetapkan, pengguna perlu ada satu kumpulan yang saling membantu mengenal pasti stesen minyak mana menawarkan harga lebih rendah.

"Satu aplikasi perlu ada untuk digunakan bagi memaklumkan kepada rakan mereka stesen minyak mana yang tawar harga lebih rendah.

"Aplikasi ini akan diadakan apabila kita memperkenalkan liberalisasi harga. Bagaimanapun tempoh pelaksanaannya masih jauh," katanya

Ditanya berhubung permainan 'pidget spinner', Hamzah berkata pihaknya sudah mengenal pasti alat yang selamat dan bahaya.

"Buat masa sekarang, saya hanya boleh memberi nasihat kepada pengguna mana yang boleh digunakan atau tidak. Saya berharap pengguna dapat memahami," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya akan menetapkan apa-apa saja alat, sama ada dikeluarkan di luar atau dalam negara, perlu melepasi standard yang ditetapkan oleh jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan bagi tujuan kawalan, sebelum dipasarkan.

Berita Harian X