Rabu, 5 Julai 2017 | 1:21pm

Murid Tahun Lima mati lemas


JENAZAH Wan Muhammad Shah Hairi Wan Mohd Sufian, 11, yang lemas mandi di sebuah kolam terbiar dituntut keluarga untuk disemadikan selepas bedah siasat dilakukan di Bilik Forensik Hospital Dungun. - Foto Rosli Ilham 

DUNGUN: Murid Tahun Lima ditemui lemas di dalam sebuah kolam terbiar di FELDA Kerteh 6, malam tadi. 

Wan Muhammad Shah Hairi Wan Mohd Sufian, 11, ditemui mati pada kira-kira jam 7.35 malam. 

Sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya, Rahimi Saidi, 10, bermain bola di padang sekolah dan kemudian mengajak rakannya ke kawasan kolam terbiar yang digali kontraktor dipercayai untuk melakukan kerja pembinaan longkang.

Mangsa dikatakan turun ke dalam kolam terbabit, manakala rakannya berada di atas tebing menunggu mangsa. 

Bagaimanapun, mangsa mengalami kesukaran dan meminta tolong sebelum rakannya berlari memaklumkan kejadian itu kepada ibu mangsa. 

Sekumpulan pemuda kampung yang berehat tidak jauh dari kawasan itu membantu menyelamatkan mangsa dan mengejarkannya ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, namun disahkan telah meninggal dunia. 

Jenazah mangsa dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun, kira-kira jam 11 malam untuk siasatan lanjut. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. 

Berita Harian X