Rabu, 5 Julai 2017 | 9:36am

⁠⁠⁠⁠⁠Pekerja asing bertempiaran lari elak ditahan


SEBAHAGIAN daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Kampung Nako Nambua dalam dua operasi berasingan pada Operasi Mega Jabatan Imigresen Kedah dengan dibantu anggota Rela. - Foto Sharul Hafiz Zam

PADANG TERAP: Sekumpulan pekerja warga asing yang sedang berehat di rumah kongsi di tapak pembinaan di sini, bertempiaran lari ke dalam hutan dan kebun getah berhampiran, sejurus kawasan itu diserbu Jabatan Imigresen negeri, semalam.

Reaksi pantas pekerja asing disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) memaksa sepasukan penguat kuasa Jabatan Imigresen yang dibantu 40 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengejar, sebelum berjaya menahan sebahagian besar daripada mereka.

Dalam serbuan sempena Ops Mega bermula jam 3.15 petang itu, Jabatan Imigresen negeri menyasarkan dua lokasi iaitu deretan rumah kongsi dan tapak pembinaan di daerah ini, selain sebuah premis perusahaan memproses kayu di Jalan Pong Utara, di sini.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin, berkata dalam operasi itu 36 pekerja asing diperiksa membabitkan pelbagai warga negara, dengan 27 daripadanya ditahan kerana tidak memiliki dokumen serta permit kerja yang sah.

"Semua yang ditahan berusia antara 21 hingga 53 tahun membabitkan 22 warga Bangladesh dan lima warga Myanmar.

"Ketika operasi dilakukan ada cubaan untuk melarikan diri ke dalam hutan berhampiran, tetapi anggota serbuan dapat mengesan serta menggagalkan cubaan itu, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Zuhair berkata, semua pekerja asing terbabit ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana melakukan kesalahan tiada pas atau permit sah.

Mereka ditahan di lokap Imigresen di Bangunan Kementerian Dalam Negeri di Alor Setar, sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Belantik di Sik.

Ops Mega dijalankan serentak di seluruh negara sejak Jumaat lalu, bagi mengesan majikan yang masih menggaji PATI yang tidak mempunyai kad sementara atau E- Kad untuk bekerja di negara ini.

110 dibaca
Berita Harian X