Rabu, 27 Ogos 2014 | 9:32pm
AKSI Samuel Eto'o ketika bersama Chelsea dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris musim lalu. Penyerang kelahiran Cameroon itu berhijrah ke Everton secara percuma, musim ini selepas dilepaskan Chelsea dan mengikat kontrak selama dua setengah tahun.- Foto AFP

EPL: Eto'o tidak simpan dendam

LONDON: Penyerang baru Everton, Samuel Eto'o berterima kasih kepada Jose Mourinho kerana sudi membawanya ke Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Chelsea - kelab yang diharap akan dihadapinya pada penampilan pertamanya, Ahad ini.

Difahamkan, kedua-duanya yang sebelum ini turut bergandingan di Inter Milan berselisih faham

selepas Mourinho membuat jenaka mengenai umur Eto'o.

Namun pemain terbaik Afrika empat kali itu dalam sidang media pertamanya berkata: "Satu-satunya perkara yang saya ingin katakan mengenai Jose Mourinho ialah terima kasih.

"Disebabkan olehnya saya mempunyai peluang untuk diterima dan beraksi dalam EPL dan saya mahu mengucapkan terima kasih disebabkan perkara itu."

Jurulatih Everton, Roberto Martinez berkata Eto'o mungkin belum bersedia untuk perlawanan pertamanya di Goodison Park namun penyerang kelahiran Cameroon itu tidak bimbang mengenainya.

"Perkara yang paling utama ialah untuk memahami corak permainan bersama rakan sepasukan baru dan bersedia untuk beraksi.

"Sejak 10 hari yang lalu saya lebih banyak berjalan dan bercakap dengan beberapa pengurus. Saya menghampiri penamat karier saya dan saya mahu mengisinya di mana sumbangan saya akan dikenang."

Martinez dalam pada itu berkata kehadiran Eto'o sesuai dengan kehendak Everton.

"Fokusnya amat menakjubkan musim lalu dan saya tahu dia adalah pemain yang kami mahukan untuk skuad ini."

Penampilan pertama Eto'o bersama Chelsea adalah pada September tahun lalu ketika menentang Everton yang berakhir dengan kekalahan 1-0. - REUTERS

Berita Harian X