Selasa, 4 Julai 2017 | 9:13pm

PDRM umum kenaikan pangkat, pertukaran


DATUK Abdul Ghafar Rajab.- Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan kenaikan pangkat dan pertukaran 46 pegawai kanan, termasuk pelantikan empat pengarah dan empat ketua polis negeri baharu, berkuat kuasa 7 Ogos depan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Senior Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad, berkata mendahului senarai adalah Pengarah Pengurusan, Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah yang bertukar sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman.

Katanya, jawatan Zulkifli akan diambil alih Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman Datuk Abdul Ghafar Rajab.

"Pertukaran turut membabitkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman.

"Jawatan Mohmad akan diambil alih oleh Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

"Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor akan dilantik sebagai Ketua Polis Selangor. Kedudukan Mazlan akan digantikan oleh Timbalan Pengarah KDN/KA (Kepolisan Am) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Datuk Amer Awal," katanya dalam satu kenyataan.

Asmawati berkata, Setiausaha PDRM, Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd akan dilantik sebagai Ketua Polis Johor dan Timbalan Pengarah (Pematuhan Standard) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman, Datuk Noor Azam Jamaludin sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan.

Katanya, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Abdul Aziz Yusof akan ditukarkan sebagai Timbalan Pengarah KDN/KA (Kepolisan Am) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman.

"Jawatan Abdul Aziz akan diambil alih oleh Timbalan Pengarah (Perlucuthakan Harta/ Perundangan/ Tahanan), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim.

"Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Zakaria Ahmad, akan dilantik sebagai Timbalan Pengarah Siasatan/ Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

"Jawatan Mohd Zakaria diambil alih oleh Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din dengan memangku pangkat DCP," katanya.

157 dibaca
Berita Harian X