Selasa, 4 Julai 2017 | 7:58pm

Eksport industri sawit lebih RM70b tahun ini


DATUK Seri Mah Siew Keong semasa sidang akhbar selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di ibu pejabat MPOB hari ini.- Foto BERNAMA

BANGI: Eksport minyak sawit dan produk minyak sawit Malaysia tahun ini dijangka lebih RM70 bilion berbanding RM67 bilion pada 2016, dengan Eropah, India dan China kekal menjadi tiga negara pengimport teratas.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata pengeluaran minyak sawit juga dijangka meningkat kepada 19.5 juta tan metrik tahun ini berbanding 17.6 juta pada 2016.

"Selain Eropah, India dan China, Malaysia sedang berusaha untuk mencari pasaran berpotensi di ASEAN seperti Filipina, yang mengimport kira-kira RM1 bilion minyak sawit, dan juga Asia Barat.

"Dengan saingan daripada kacang soya dalam pasaran tradisional kekal sebagai cabaran besar, kerajaan perlu meningkatkan usaha pemasaran ke arah menjamin permintaan untuk minyak sawit akan terus kukuh," katanya.

Siew Keong juga mengumumkan MPOB akan menganjurkan edisi ke-23 Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi pada 11 Julai bagi melancarkan teknologi dan perkhidmatan baharu untuk industri minyak sawit dan untuk usahawan tempatan mengkomersilkannya.

Katanya, kadar penerimaan teknologi dan perkhidmatan MPOB agak baik dengan 30 peratus kadar pengkomersilan berbanding kurang daripada lima peratus untuk institusi penyelidikan dan pembangunan dan universiti lain.

- BERNAMA

Berita Harian X