Selasa, 4 Julai 2017 | 7:25pm

4,000 juta liter air dibazirkan setiap hari


DATUK Seri Ir Dr Zaini Ujang bergambar bersama Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air KeTTHA, Ir Noor Azahari Zainal Abidin (tiga kiri), Shinsaku Fukazawa (dua kanan) dan Presiden TSS Tokyo Co Ltd, Dr Atsushi Masuko (kanan) selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Japan International cooperation Agency (JICA), Department of Water Supply (BBA) dan TSS Tokyo Water Co di Putrajaya.- Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Paip bocor dan kecurian air adalah antara faktor yang menyumbang kepada pembaziran lebih 4,000 juta liter sehari (JLH) air yang dirawat di negara ini, satu jumlah yang boleh disalurkan untuk kegunaan orang ramai di Lembah Klang setiap hari.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Dr Zaini Ujang, berkata Malaysia mempunyai purata air tidak berhasil (NRW) sebanyak 35 peratus dengan negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Kedah, Perlis, Pahang dan Kelantan merekodkan tahap NRW yang tinggi.

Memandangkan Malaysia bermatlamat untuk mengurangkan NRW kepada 25 peratus menjelang akhir 2020, KeTTHA akan membelanjakan kira-kira setengah juta ringgit untuk program NRW di enam negeri bermula tahun ini termasuk penggantian paip lama dan meter air.

"Meter air hanya berfungsi dengan baik dalam tempoh kira-kira 10 tahun sahaja dan lebih daripada itu, ia tidak lagi sensitif. Isunya ramai pengguna enggan tukar meter kerana kalau tukar meter, bil air akan naik.

"Banyak negara kini melaksanakan pertukaran meter air secara automatik, selepas lapan atau 10 tahun tukar meter baharu. Mungkin kita boleh menggunakan pendekatan itu bagi memastikan meter air berfungsi dengan baik," katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Bekalan Air, KeTTHA, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan TSS Tokyo Water Co Ltd mengenai kerjasama latihan dan pembinaan keupayaan tentang kawalan bekalan air dan teknologi pengurusan NRW.

Zaini berkata, MoU itu menawarkan bantuan latihan kepada Jabatan Bekalan Air (JBA) untuk membina keupayaan jurutera dan juruteknik mengenai pengurusan bekalan air dan NRW di Labuan.

"Latihan akan diadakan di keseluruhan infrastruktur bekalan air di Labuan, di mana para peserta akan menjalankan kerja-kerja sebenar dalam pengurusan NRW," katanya sambil menambah tiga tenaga pakar dari TSS Tokyo dijangka memulakan tugas mereka Ogos ini.

Program itu dijangka membabitkan hingga 10 jurutera dan juruteknik JBA sebagai jurulatih yang akan melatih 45 peserta lain dari operator bekalan air lain di seluruh negara.

Keseluruhan program itu dijadual siap menjelang Mac 2020, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X