Selasa, 4 Julai 2017 | 6:30pm

E-Kad: Imigresen KL tahan 75 PATI


ANTARA PATI yang ditahan dalam Ops Ikrar di sebuah pusat membeli-belah di ibu kota, tengah hari tadi.

KUALA LUMPUR: Seramai 75 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur menerusi Ops Ikrar yang dilakukan di medan selera sebuah pusat membeli-belah di Lingkaran Syed Putra di sini, pagi tadi.

Operasi selama sejam berakhir 12 tengah hari yang membabitkan 29 anggota itu dilakukan bagi mengesan PATI yang tidak didaftarkan di bawah program Enforcement Card atau E-Kad, selepas tempoh berbuat demikian tamat 30 Jun lalu.

Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Mohd Sharulnizam Ismail, berkata warga Indonesia paling ramai ditahan iaitu 52 orang, diikuti Bangladesh (15); Myanmar (5); China (2) dan seorang warga Thailand.

"Penahan ini adalah susulan daripada tamatnya program E-Kad baru-baru ini bagi mengesan PATI yang belum berdaftar serta enggan mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak Imigresen.

"Dalam operasi ini, seramai 120 orang diperiksa dan daripada jumlah itu, 75 ditahan," katanya kepada pemberita selepas operasi tamat.

Mohd Shahrulnizam berkata, hasil pemeriksaan ke atas PATI mendapati kebanyakan mereka menyalahgunakan pas lawatan, malah ada juga yang bekerja tanpa permit sah.

Menurutnya, operasi sedemikian akan dilakukan secara berterusan bagi menggempur PATI dan majikan yang gagal mendaftar di bawah program E-Kad.

Beliau berkata, tangkapan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri; Seksyen 16(1)(c) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas dan permit.

Berita Harian X