Selasa, 4 Julai 2017 | 1:30pm

Limpahan air larutan resapan cemari Sungai Benut

KLUANG: Limpahan air larutan resapan dari tapak pelupusan sampah Ladang CEP, Renggam berikutan benteng pecah menjadi penyebab utama berlakunya pencemaran air di Sungai Benut, Khamis lalu.

Ia sekali gus meningkatkan kandungan amonia dalam air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam pada hari raya kelima, menyebabkan operasi memproses air mentah untuk kegunaan penduduk di Simpang Renggam dihentikan.


Hamim Samuri

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri, berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengambil tindakan perundangan mengikut Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pencemaran Daripada Stesen Pemindahan Sisa Pepejal dan Kambus Tanah) 2009 dengan mendenda SWM Environment Sdn Bhd berikutan kejadian itu.

"JAS turut melakukan pemeriksaan susulan di sumber air Sungai Benut dan mendapati tiada lagi limpahan air larutan resapan sejak Jumaat sehingga Ahad lalu.

"Kontraktor mengambil langkah serta-merta apabila benteng berkenaan dikesan pecah dengan menambak semula bagi menghentikan limpahan air larutan resapan daripada terus melimpah ke Sungai Benut.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kluang turut melepaskan air dari Empangan Machap bagi membantu meneutralkan dan mengurangkan kandungan amonia di Sungai Benut.

"Ia membolehkan air mentah diproses semula di LRA Simpang Renggam bagi kegunaan kira-kira 7,000 penduduk Simpang Renggam yang terjejas," katanya selepas meninjau tapak pelupusan sampah Ladang CEP, Renggam, dekat sini, hari ini.

Sebelum ini, LRA Simpang Renggam dibuka dan beroperasi semula secara berperingkat sejak malam Sabtu lalu apabila bacaan amonia di sumber air Sungai Benut menurun.

17 dibaca
Berita Harian X