Selasa, 4 Julai 2017 | 12:46pm

Bekas kontraktor hadapi tuduhan tuntutan palsu


MOHAMMAD Trevor Mohammad Darby dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu RM169,500, empat tahun lalu. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

AYER KEROH: Seorang bekas kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu RM169,500, empat tahun lalu.

Tuntutan berkenaan berhubung kerja membangunkan sistem pameran berkonsepkan holografik di Muzium Seni bina Malaysia Melaka.

Tertuduh, Mohammad Trevor Mohammad Darby, 35, membuat pengakuan itu sejurus tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mohammad Trevor, sebagai pemilik syarikat Ultra Integrated dituduh dengan niat memperdayakan kurator muzium, Azahar Mat Daud menerusi satu dokumen iaitu pesanan kerajaan berserta invois berjumlah RM169,500 berhubung kerja membangunkan sistem pameran berkonsepkan holografik.

Bagaimanapun, tertuduh memberikan butiran palsu dengan memperakui pembekalan sepenuhnya dibuat dalam keadaan memuaskan dan mengikut penentuan sedangkan kerja tidak disiapkan.

Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Muzium Seni bina Malaysia Melaka pada 24 Disember 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Diyanah Mohd Nawawi menawarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, selain berdepan satu lagi tuduhan sama di Perak.

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Ogos ini sebutan semula kes.

44 dibaca
Berita Harian X