Selasa, 4 Julai 2017 | 7:00am

Hyundai Tucson Turbo terjah pasaran


Hyundai Tucson 1.6L Turbo GDI.

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) memperkenalkan Hyundai Tucson 1.6L Turbo GDI (T-GDI) yang dijana enjin turbo untuk pasaran tempatan.

Ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM145,588, Tucson versi dipertingkatkan ini dijana oleh enjin petrol turbo 1.6 liter dengan sistem suntikan bahan api terus T-GDI yang menghasilkan 175 kuasa kuda (hp) pada 5,500 rpm dan tork maksima 265 Nm pada 1,500 hingga 4,500 rpm.

Prestasi kuasa Tucson baharu ini disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

Selain enjin berkuasa, model yang dipertingkat ini tampil dengan lampu utama projektor LED dengan nyalaan lampu siang serta lampu penjuru LED serta rim 17 inci dengan cat lebih gelap.

Rim 19 inci lima jejari pula disediakan sebagai pilihan tambahan, dan disertakan dengan tayar 245,45R19, berbanding 225/45R17 untuk rim 17 inci.

Tawar ciri baharu

Ciri baharu lain yang turut ditawarkan termasuk kamera hadapan, fungsi auto-hold pada brek parkir elektronik dan sistem bukaan pintu tailgate belakang yang beroperasi tanpa sentuhan tangan.

Selain itu, kit standard versi turbo ini adalah sama seperti model tertinggi yang dijual ketika ini iaitu 2.0 Executive.

Ia termasuk lampu kabus depan dan belakang, lampu puddle, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, roda stereng pelbagai fungsi, kemasan kulit, tempat duduk pemandu larasan elektrik, kawalan tiga mod Drive Mode Control (Normal, Sports dan Eco) dan skrin informasi TFT LCD Supervision 4.2 inci.

Antara fungsi lain pula termasuk brek kecemasan elektronik, cermin pandang belakang anti-silau automatik dengan kompas, liang pendingin hawa di belakang, sistem informasi dan hiburan berasaskan Android dengan skrin lapan inci serta kawalan cruise.

Bagi aspek keselamatan, Tucson baharu ini ditawarkan dengan enam-beg udara, ABS, EBD, BA, bantuan mula mendaki, kawalan menurun curam dan ISOFIX.

Info:
Hyundai Tucson 1.6L Turbo GDI (T-GDI)

  • Harga atas jalan tanpa insurans RM145,588
  • Tawar aksesori pilihan : dua pakej upholsteri (RM1,288 untuk merah dan RM1,988 untuk putih); kit badan (RM2,000); serta rim 19-inci lengkap dengan tayar (RM5,500)
  • Jaminan lima tahun atau 300,000 km dan pakej servis percuma 50,000 km atau tiga tahun
Berita Harian X