Isnin, 3 Julai 2017 | 5:44pm

Penolong jurutera ditahan kes rasuah RM700,000

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang Penolong Jurutera Mekanikal Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri, Muar, selepas disyaki terbabit dalam kes rasuah membabitkan nilai hampir RM700,000.

Hasil siasatan dijalankan, suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor maktab itu sebagai upah mendapatkan kerja bekalan dan perkhidmatan di Maktab Teknik PDRM Bakri dari 2014 sehingga 2016.

Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di rumahnya di Merlimau, Melaka kira-kira jam 6.30 pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dalam tender kerja bekalan dan perkhidmatan di maktab berkenaan.

Pasukan penyiasat SPRM turut menjumpai wang tunai berjumlah kira-kira RM32,000 yang disembunyikan di dalam tin biskut dalam serbuan yang dijalankan di rumah suspek.

SPRM turut merampas barangan kemas dan sebuah kenderaan Toyota Prado yang dianggarkan bernilai kira-kira RM30,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias berkata, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Segamat esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.

63 dibaca
Berita Harian X