Ahad, 2 Julai 2017 | 10:43pm

Pelajar dikhuatiri lemas

DUNGUN: Seorang pelajar Tingkatan Dua dikhuatiri lemas ketika mandi bersama lapan rakan di kawasan Lubuk, Kampung Delong, di sini, hari ini. 

Mangsa, Che Wan Haziq Haikal Che Wan Othman, 14,  pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut, dipercayai lemas, kira-kira jam 6.45 petang. 


CHE Wan Haziq Haikal Che Wan Othman. - Foto Rosli Ilham

Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa sedang bermain bola di tebing sungai terbabit sebelum bola ditendang rakannya jatuh ke dalam sungai berkenaan.

Difahamkan, mangsa kemudiannya terjun ke dalam sungai dan berenang untuk mengambil bola terbabit namun mangsa dikatakan hilang dari pandangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Amri Mohamad ketika ditemui di tempat kejadian mengesahkan kejadian itu sambil memberitahu 10 anggota dikerahkan ke lokasi untuk mencari mangsa.

Katanya, rakan mangsa yang melihat mangsa dalam keadaan terkapai-kapai kemudiannya berenang  untuk membantu namun tidak berjaya malah hampir lemas sebelum dibantu rakan lain yang menyelamatkannya dengan menaiki perahu.

"Bagaimanapun Che Wan Haziq dikatakan gagal diselamatkan sebelum tenggelam ke dasar sungai, namun usaha mencari dan menyelamatkannya masih diteruskan," katanya. 

Operasi mencari dan menyelamat remaja terbabit sedang giat dijalankan membabitkan bantuan pihak polis dan penduduk kampung.

12 dibaca
Berita Harian X