Ahad, 2 Julai 2017 | 8:09pm

Fasa pertama Coopcity siap 2019


PRESIDEN ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri ANGKASA Johor, Johor Bahru, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Fasa pertama CoopCity Bandar Penawar yang menjadi bandar koperasi pertama di Malaysia dijangka siap menjelang awal 2019.

Projek itu dibangunkan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) bersama Koperasi Pengerang Kota Tinggi Bhd (KOPETI).

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata secara keseluruhan projek pembangunan bercampur itu membabitkan tiga fasa itu dengan pembinaan 640 unit kediaman dan rumah kedai.

Katanya, projek itu bakal mencipta sejarah sebagai bandar koperasi pertama di negara ini dan pembinaannya menggunakan konsep yang sama seperti bandar koperasi pertama dan terbesar di dunia di Bronx, New York, Amerika Syarikat.

"CoopCity Bandar Penawar terletak di kawasan seluas 22 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM217 juta. Fasa pertama dijangka dimulakan September ini membabitkan pembinaan 128 unit rumah teres dua tingkat dan 30 unit rumah kedai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri ANGKASA Johor, di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi ANGKASA Johor, Sazali Abd Hamid.

Abdul Fattah berkata, CoopCity Bandar Penawar dibangunkan menerusi lima prinsip iaitu koperasi perlu menguruskannya sendiri, modal dikongsi bersama, keutamaan pemilikan oleh koperasi dan anggota, selain koperasi perlu memonopoli perniagaan serta pembiayaan hanya dari bank koperasi.

Katanya, pembangunan kawasan itu juga turut membabitkan pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan keutamaan pemilikan rumah di bandar koperasi itu dihadkan kepada koperasi dan anggotanya.

"Projek pembangunan itu diberi keutamaan kepada koperasi di Johor dan ahlinya yang setakat ini mempunyai 1,300 koperasi dengan kira-kira 500,000 ahli," katanya.

Abdul Fattah juga berharap negeri lain mencontohi langkah kerajaan negeri Johor yang menawarkan kawasan tertentu untuk dijadikan bandar koperasi.

Katanya, selain Johor, pihaknya kini sedang meneliti pelawaan kerajaan negeri Sarawak yang menawarkan kawasan seluas 280 hektar untuk dibangunkan sebagai bandar koperasi dengan kerjasama syarikat swasta.

Berita Harian X