Ahad, 2 Julai 2017 | 3:57pm

3 kilang diserbu, 18 PATI ditahan


SEBAHAGIAN pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan untuk pemeriksaan dalam Operasi Mega di tiga lokasi di Bukit Pinang bagi mengesan majikan yang masih mengaji pendatang tanpa izin. - Foto Shahrizal Md Noor

ALOR SETAR: Seramai 18 pendatang tanpa izin (PATI) termasuk sembilan wanita ditahan dalam operasi 'Ops Mega' yang dijalankan Jabatan Imigresen negeri di tiga kilang sekitar Bukit Pinang, di sini, hari ini.

Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen Kedah, Marlis Marhaini Abd Rashid, berkata operasi bermula sejak semalam itu bertujuan mengesan majikan yang masih menggaji PATI di negeri ini.

Beliau berkata, dalam tiga serbuan bermula jam 11 pagi itu, pihaknya membuat pemeriksaan terhadap 60 orang termasuk 30 wanita warga tempatan.

"Daripada jumlah itu, 18 pekerja asing berusia antara 20 hingga 45 tahun ditahan membabitkan 15 warga Nepal, dua Bangladesh dan seorang daripada Myanmar.

"Dalam serbuan pertama di sebuah kilang memproses ayam di Bukit Pinang, kita membuat pemeriksaan terhadap 18 pekerja termasuk dua lelaki tempatan, seorang lelaki Thailand dan 16 lelaki Nepal, namun hanya enam warga asing ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen.

"Di lokasi kedua, kita menahan 12 lagi pekerja asing kerana kesalahan melanggar syarat pas dan permit serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah. Bagaimanapun, tiada penahanan dilakukan di lokasi ketiga yang diserbu," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini, hari ini.

Marlis berkata, semua yang ditahan dibawa ke pejabat Imigresen di Anak Bukit, di sini sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Belantik di Sik untuk tindakan lanjut.

22 dibaca
Berita Harian X