Ahad, 2 Julai 2017 | 12:55pm

Patuhi 'No-Gift Policy' tingkat integriti


Yang Dipertua MPPG, Hasrin Kamal Hashim (dua dari kanan) bersama Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias (dua dari kiri) ketika melancarkan No-Gift Policy bersempena program Ikrar Bebas Rasuah Majlis Perbandaran Pasir Gudang di Dewan Hamra, Menara Aqabah, Pasir Gudang. - Foto Nurul Amanina Suhaini

PASIR GUDANG: Dasar larangan memberi dan menerima hadiah atau 'No-Gift Policy' Majlis Perbandaran pasir Gudang (MPPG), dapat mengekang salah guna kuasa dan rasuah.

Dasar itu mula dilaksanakan sejak pada 1 Ramadan lalu dan menjadi sebahagian daripada elemen dalam Program Ikrar Bebas Rasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, berkata kerjasama pelbagai organisasi dalam usaha mendukung 'No-Gift Policy' meningkatkan integriti, sekali gus menjalinkan rangkaian kerjasama strategik bagi membanteras kegiatan rasuah.

Katanya, dasar itu dapat mengelak gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan kakitangan terutama penjawat awam.

"Malah kutipan hasil MPPG yang dianggarkan meningkat setiap tahun seiring dengan pembangunan pesat sedikit sebanyak boleh berlaku ketirisan hasil kerajaan sama ada berkaitan rasuah atau tadbir urus yang diatasi menerusi pemantauan yang betul," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Program Ikrar Bebas Rasuah MPPG Bersama SPRM Johor, di Dewan Hamra, Menara Aqabah, dekat sini, hari ini. Yang turut hadir, Yang Dipertua MPPG, Hasrin Kamal Hashim.

Pada majlis itu, 410 kaki tangan MPPG serta ahli majlisnya menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dan melafazkannya di hadapan Azmi.

Azmi berkata, 'No-Gift Policy' sebenarnya terkandung dalam pekeliling yang dikeluarkan SPRM pada 14 November 2014, iaitu pegawai awam tidak boleh memberi atau menerima hadiah dalam apa bentuk jika ia ada hubungan dengan tugas rasminya.

Katanya, kerjasama strategik antara SPRM dan MPPG bukan sahaja hubungan dalam bentuk program tertentu, sebaliknya akan berterusan untuk membina satu Pelan Strategik Pencegahan Rasuah meliputi Kajian Analisis Risiko dan seterusnya tindakan pencegahan yang boleh dilaksanakan.

"Kaedah ini akan mewujudkan satu pelan yang menyeluruh bagi memastikan PBT bebas rasuah dan menghasilkan perkhidmatan berteraskan tadbir urus yang sempurna," katanya.

Azmi turut mengingatkan semua penjawat awam khususnya kakitangan MPPG supaya segera melaporkan kepada SPRM sekiranya terdapat unsur berbentuk jenayah rasuah.

11 dibaca
Berita Harian X