Ahad, 2 Julai 2017 | 7:00am

Honda perkenal 3 model

BOON Siew Honda Sdn Bhd (BSH) memperkenalkan model skuter premium baharunya, NSS300; skuter dipertingkatkan, Honda PCX; dan lagenda kapcai Honda, EX5 Dream Fi.

Dengan slogan "My Life, My Story, My NSS300", model premium ini adalah skuter yang bergaya dan menarik serta menawarkan tunggangan mudah dengan tahap keselesaan yang cemerlang.

NSS300 ini dijual pada harga RM30,727 termasuk GST (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) dan ditawarkan dalam tiga warna termasuk satu warna baru, Candy Caribbean Blue Sea.

NSS300 hambur 19 kW

Skuter ini menggunakan enjin 279 cc silinder tunggal, empat lejang dan sejukan cecair yang menghasilkan sebanyak 19 kW pada 7,500 rpm manakala tork 26 Nm pada 5,000 rpm.

NSS300 menggunakan jenis V-Matic Continuosly Variable dengan klac centrifugal automatik dengan penyampaian akhir melalui V-Belt, serta lengkap dengan ciri brek ABS.

Dengan berat 194 kilogram (kg), NSS300 juga dilengkapi dengan tangki minyak berkapasiti 11.6 liter.


Honda PCX

PCX dengan warna baharu

Selain NSS300, BSH juga menawarkan skuter PCX dengan pilihan warna baru Candy Caribbean Blue Sea.

Ia akan dijual pada harga bermula RM11,658 termasuk GST (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).

Model ini masih dilengkapi enjin yang sama iaitu 149 cc, silinder tunggal SOHC, empat lejang dengan sejukan cecair serta dilengkapi dengan sistem suntikan minyak PGM-Fi.

Enjin yang digunakan PCX ini menghasilkan kuasa 9.35 kW pada 8,500 rpm dan tork maksimum 13 Nm pada 5,500 rpm.

Dari segi dimensi pula, PCX memiliki panjang 1,931 mm, lebar 737 mm dan tinggi 1,103 mm.

Dengan berat 131 kg, jarak antara roda bagi model ini ialah 1,315 mm, dengan ketinggian tempat duduk 761 mm dan kelegaan tanah 138 mm.

Lagenda dinaiktaraf

Model yang membuat BSH terkenal, EX5 kembali ke pasaran dengan rekaan baharu dan sentuhan terkni daripada pengeluar dari Jepun ini.

Mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1987 atau lebih 30 tahun ia berada di Malaysia, BSH mahu membangkitkan semula keghairahan lampau apabila memperkenalkan EX5 Dream Fi 2017.

Ia adalah sebuah model yang dipertingkat daripada model yang diperkenal pada April 2015, namun enjin 109 cc suntikan bahan api padanya kini menjadi lebih mesra alam kerana mempunyai penarafan emisi Euro 3.

Kuasa enjin ini adalah 8.66 PS dan 8.62 Nm tork yang dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan.

Model ini bukan hanya dapat menyumbang kepada aspek mesra alam, tetapi juga penjimatan bahan api lebih baik dan menjimatkan.

Selain itu, BSH turut memperkenalkan beberapa ciri baru pada EX5 Dream Fi iaitu rim sport, tayar tanpa tiub, pemegang genggaman krom dan lambang Honda 3D.


Honda EX5 Dream Fi

Tiga pilihan EX5 Dream Fi

Harga yang disyorkan termasuk GST (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) untuk EX5 Dream Fi baru ini bermula dari RM4,906.74 (pemula tendang, roda jejari), RM5,150.54 (pemula tendang dan elektronik, roda jejari) dan RM5,404.94 (pemula tendang dan elektronik, rim sport).

Honda EX5 Dream Fi Baharu ini ditawar dalam tiga warna iaitu ungu metalik, merah metalik, biru metalik dan bagi model yang dilengkapi rim sport selain warna hitam metalik.

Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

Info:
Honda NSS300

  • Harga termasuk GST (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) RM30,727
  • Enjin 279 cc silinder tunggal, empat lejang dan sejukan cecair
  • 19 kW @ 7,500 rpm, tork 26 Nm @ 5,000 rpm
  • V-Matic Continuosly Variable
  • Klac centrifugal automatik menerusi V-Belt
  • Ciri brek ABS


Honda NSS300

Honda PCX

  • Harga termasuk GST (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) bermula RM11,658
  • Enjin 149 cc, silinder tunggal SOHC, empat lejang dengan sejukan cecair

  • Sistem suntikan minyak PGM-Fi.
  • 9.35 kW @ 8,500 rpm dan tork 13 Nm @ 5,500 rpm

Honda EX5 Dream Fi

  • Harga termasuk GST (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) RM4,906.74
  • Enjin 109 cc dengan suntikan bahan api dan mempunyai penarafan emisi Euro 3
  • Kotak gear empat kelajuan
  • 8.66 PS dan 8.62 Nm tork
96 dibaca
Berita Harian X