Sabtu, 1 Julai 2017 | 11:32pm

Lelaki maut kereta bertembung 3 lori


KEADAAN kereta yang remuk apabila bertembung dengan tiga lori selepas cubaannya memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya tidak berjaya dalam kemalangan di Kilometer 7 Jalan Ayer Hitam-Yong Peng, Batu Pahat, petang tadi. - Foto ihsan polis

BATU PAHAT: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan tiga lori selepas cubaannya memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya tidak berjaya dalam kemalangan di Kilometer 7 Jalan Ayer Hitam-Yong Peng, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, Isa Arrahman Misran, 23, dari Kampung Haji Ghaffar, Mukim 7, Yong Peng, dekat sini, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Yong Peng menghala ke Ayer Hitam.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya ketika berada di garisan berkembar laluan empat lorong di situ.

"Malangnya, kereta dipandu mangsa tidak berjaya memotong sebelum berlanggar dengan sebuah lori di laluan sama menyebabkan lori berkenaan terbabas memasuki laluan bertentangan.

"Sebuah lagi lori dari arah Ayer Hitam ke Yong Peng tidak sempat mengelak menyebabkannya merempuh kereta mangsa.

"Lebih malang, muncul sebuah lagi lori menghala ke Yong Peng yang tidak sempat mengelak kedua kenderaan yang terbabit kemalangan itu sebelum merempuh lori serta kereta mangsa," katanya.

Abdul Wahib berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

22 dibaca
Berita Harian X