Sabtu, 1 Julai 2017 | 10:05pm
PENYANYI, Aiman Tino bergambar bersama peminat pada majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dianjurkan penyanyi itu di Dataran Kuala Kubu Bharu, malam tadi. - Foto Mahzir Mat Isa

3,000 peminat hadir rumah terbuka Aiman Tino


PENYANYI, Aiman Tino bergambar bersama peminat pada majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dianjurkan penyanyi itu di Dataran Kuala Kubu Bharu, malam tadi. - Foto Mahzir Mat Isa

KUALA KUBU BHARU: Hampir 3,000 peminat membanjiri rumah terbuka Aidilfitri yang dianjurkan penyanyi remaja, Aiman Tino sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan mereka selama ini.

Diadakan di Dataran Kuala Kubu Bharu, malam tadi, penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu tidak menyangka acara yang kali pertama dianjurkan itu menerima kehadiran begitu ramai peminat.

Pada majlis sama, Aiman turut meraikan sambutan hari jadinya yang ke-19 yang jatuh pada 27 Jun lalu.

"Rumah terbuka ini adalah sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang menyokong kerjaya seni saya sepanjang lebih setahun dalam industri.

"Selain itu, saya juga mengambil kesempatan itu untuk meraikan hari jadi bersama peminat. Tidak sangka pula kehadiran peminat begitu ramai, malah melebihi jangkaan.

"Saya diberitahu ada peminat yang datang jauh dari Brunei semata-mata untuk menghadiri rumah terbuka ini. Saya berharap peminat yang hadir berpuas hati menikmati hidangan yang disediakan," katanya.

Selain peminat, rumah terbuka Aidilfitri ini turut dihadiri rakan artis seperti Ismail Izzani, Harry Khalifah, Kumpulan Projector Band, Noorshila Amin dan Haqiem Rusli.

Pada majlis ini, Aiman turut menjamu peminatnya dengan hidangan tradisi seperti nasi minyak, sate, kambing golek dan char kuetiau.

33 dibaca
Berita Harian X