Sabtu, 1 Julai 2017 | 2:06pm

Sastera BH wahana penting memasyarakatkan sastera


MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyamp aikan sijil kepada Hafizah Iszahanid sempena PULARA 7 2016 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor. - Foto Rohanis Shukri

UNIT Sastera yang sebelum ini pernah dikenali sebagai Unit Pengembangan Sastera BH, menjadi wahana penting bagi penggiat sastera tanah air untuk mengetahui dan berpolemik mengenai kesusasteraan negara sejak dibawakan akhbar ini pada dekad 1970-an.

Selepas dekad demi dekad menyaksikan ranah kesusasteraan negara terus berkembang, BH yang komited memasyarakatkan sastera, menjadi satu-satunya akhbar arus perdana yang konsisten menyediakan ruang mengenai dunia kesusasteraan tempatan dan antarabangsa.

Unit Sastera pernah dipimpin nama besar yang tidak asing dalam ranah kesusasteraan negara, iaitu Sasterawan Negara (SN), Datuk A Samad Said dan pengarang, penyair, cerpenis, novelis serta aktivis sastera, Wan Omar Wan Ahamed atau lebih dikenali sebagai Sutung Umar Rs.

Ramai pengarang prolifik

Malah, di antara A Samad dan Sutung Umar Rs, ramai pengarang prolifik pernah mengendalikan ruangan Sastera, iaitu Khadijah Hashim, Hanafiah A Samad, Dino SS, AR Kamaludin dan A Rahim Abdullah.

Meskipun mahu mendampingi khalayak dalam kalangan penggiat sastera, bahasa dan budaya, Sastera BH juga mendekati kalangan pembaca biasa dengan menjadikan halaman Sastera sebagai halaman mesra untuk semua pembaca.

Selain mengisi halaman dengan laporan, polemik, kritikan dan karya kreatif, Unit Sastera juga diserahkan tanggungjawab menghidupkan acara Malam Puisi Riong, serta Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH yang kini berusia 10 tahun.

Unit Sastera turut bekerjasama dengan Institut Terjemahan & Buku (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) untuk menganjurkan Hadiah Penulisan Novel, Kumpulan Cerpen dan Puisi sebanyak dua kali yang berjaya merancakkan dunia kesusasteraan pada saat penerbitan karya sastera tanah air agak terencat.

Sumbangan Unit Sastera ini turut diperhati dan diiktiraf badan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) apabila merangkul Anugerah Media dan Hadiah Kewartawanan DBP kategori media cetak, berdasarkan laporan akhbar yang dibuat sebelum ini.

Salbiah Ani yang mengemudi unit Unit Sastera daripada 2004 hingga 2013, turut diumumkan pemenang kategori individu Anugerah Citra Sahabat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sempena Hari Inovasi DBP 2013.

Dalam konteks individu, selain bergiat dalam kewartawanan, pengarang dan wartawan Unit Sastera, turut mencipta nama dalam bidang kesusasteraan dan penulisan kreatif dengan tokoh utamanya sudah tentu A Samad yang menerima Anugerah Sastera Negara (ASN) yang membawa gelaran SN.


SASTERAWAN Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan membaca puisi pada Malam Puisi Riong Karya Negaraku. - Foto Rosela Ismail

Penganugerahan paling berprestij

Pengarang yang melonjak namanya dalam dunia sastera tanah air melalui karyanya Salina itu, menerima penganugerahan paling berprestij dalam ranah kesusasteraan negara itu pada pada 1985, iaitu selepas meninggalkan BH.

Khadijah yang terkenal dengan novel Badai Semalam dan Hati Bukan Kristial pula menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) pada 1999, manakala Sutung Umar Rs, pula memperlihatkan sifat prolifik pada hujung usianya.

Pengarang Unit Sastera kini, Mohd Nazmi Yaakub menerima Anugerah melalui cerpennya, Embus-embus Iman di Indus berjaya meraih Hadiah Utama kategori Cerpen Dewasa pada Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil (HSKU) 2009.

Pada 2014, pengarang Suria Baghdad Berwarna Biru itu turut memenangi Hadiah Utama HSKU 2013 Kategori Cerpen melalui karyanya Pada Suatu Nama kemudian turut memenangi Anugerah Sastera Kelantan 2015.

Wartawan Unit Sastera, Hafizah Iszahanid yang merangkul Anugerah Kewartawanan DBP (Kategori Media Cetak) 2015 turut menyerlah apabila memenangi hadiah utama novel remaja dan cerpen remaja dalam HSKU ExxonMobil 2011 menerusi novel Deru Angin dan cerpen Istimewa, manakala kumpulan cerpennya, Perempuan Berambut Merah memenangi Hadiah Karya Darul Ridzuan (HKDR) Ke-5.


MODERATOR, Lufti Ishak (kiri) bersama penulis, Prof Emeritus Muhammad Salleh (tengah) dan Pengarang Sastera BH, Mohd Nazmi ketika sembang Dewan Sastera di DBP pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 di PWTC. - Foto Nurul Shafina Jemenon

25 dibaca
Berita Harian X