Sabtu, 1 Julai 2017 | 11:21am

4 penuntut universiti swasta sesat di Pertak


EMPAT penuntut universiti swasta yang sesat ketika mendaki di laluan Hutan Latar Medang, Pertak, dibawa turun ke pos kawalan keselamatan jam 3.30 pagi tadi. - Foto ihsan Bomba

HULU SELANGOR: Empat penuntut universiti swasta sesat ketika mendaki di laluan Hutan Latar Medang, Pertak, dekat sini semalam.

Empat penuntut berkenaan Sim Chia Ting, 22; Chin Khang Wei, 21; Cha Shu Qing, 21, dan Lim Kar Yan, 21, mula mendaki jam 2 petang semalam.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Rosdi Shafie, berkata pihaknya menerima panggilan jam 9 malam daripada mangsa memaklumkan mereka sesat di lokasi berkenaan.

"Seramai enam orang anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 10.10 malam melalui koordinat yang diberikan mangsa," katanya ketika dihubungi BH.

Rosdi Shafie, berkata pihak bomba dan penyelamat menemui mangsa dalam keadaan selamat sejam selepas memulakan operasi SAR.

"Siasatan mendapati mangsa mula turun dari kawasan itu kira-kira jam 6 petang semalam namun menghadapi masalah di pertengahan jalan kerana hujan lebat dan hari semakin gelap.

"Selain itu, mangsa juga tiada bantuan pencahayaan dan tersasar daripada laluan asal pendakian mereka," katanya.

Semua mangsa dibawa turun dengan selamat ke pos kawalan keselamatan oleh anggota SAR, jam 3.30 pagi tadi.

18 dibaca
Berita Harian X