Jumaat, 30 Jun 2017 | 11:18pm

Nilai semula komisen, jualan secara konsainmen - PDAM


PRESIDEN Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz.

Kuala Lumpur: Penilaian semula kadar komisen jualan bahan api dan penjajaran semula kos operasi adalah antara penyelesaian 'jalan tengah' yang diutarakan kepada kerajaan.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, berkata semakan terakhir kadar komisen itu dilaksanakan pada 2008 berlandaskan Mekanisme Penetapan Harga Minyak (APM).

Beliau menyifatkan, kadar lama yang menyaksikan pengusaha stesen minyak meraih komisen 12.19 sen bagi seliter petrol dan tujuh sen untuk seliter diesel itu kini tidak relevan susulan lonjakan kos operasi, selain kejatuhan harga pasaran bahan api.

"Komisen ini bukan keuntungan bersih yang diperoleh stesen minyak kerana kita perlu mengambil kira pelbagai kos operasi seperti menggaji pekerja, transaksi kad kredit dan penyelenggaraan.

"Dasar hasil rundingan kerajaan dan syarikat minyak yang mewajibkan seorang pekerja ditugaskan di kawasan pam minyak walaupun perkhidmatan dikendalikan secara layan diri juga perlu dikaji semula.

"Cadangan ini perlu dipertimbangkan kerana kadar keuntungan bersih secara purata yang diperoleh pengusaha stesen minyak ketika ini adalah kira-kira satu hingga dua sen setiap liter bahan api, " katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, sebelum ini dilaporkan berkata satu formula penentuan harga bahan api dijangka diumumkan dalam usaha menstabilkan industri minyak negara.

Khairul Annuar berkata, langkah penyelesaian lain yang boleh dipertimbangkan kerajaan adalah kaedah penjualan bahan api secara konsainmen, iaitu pengusaha stesen hanya menjual bagi pihak syarikat minyak.

Katanya, menerusi pelaksanaan itu, pengusaha stesen hanya memperoleh kadar keuntungan menerusi komisen penjualan daripada syarikat minyak, namun mereka tidak terjejas dengan naik turun harga pasaran bahan api.

"Naik turun harga pasaran bahan api menerusi mekanisme apungan ini berupaya menyebabkan kerugian kepada pengusaha stesen minyak jika wujud penurunan harga yang mendadak dan berterusan, " katanya.

#INFO

- 3,500 stesen minyak di seluruh negara

*Kadar komisen 2008

- 12.19 sen seliter petrol

- 7 sen seliter diesel

169 dibaca
Berita Harian X