Jumaat, 30 Jun 2017 | 7:35pm
KEADAAN kereta yang dirempuh lori treler dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Sarikei-Sibu, petang tadi. - Foto ihsan bomba
KEADAAN kereta yang dirempuh lori treler dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Sarikei-Sibu, petang tadi. - Foto ihsan bomba

Treler rempuh kereta, satu maut


ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Sarikei-Sibu, petang tadi. - Foto ihsan bomba

SARIKEI : Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya dirempuh lori treler dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Sarikei-Sibu, petang tadi.

Lori treler tanpa muatan dari arah Sarikei menghala ke Sibu, cuba memotong sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan, kira-kira jam 2.30 petang.

Pada masa yang sama, sebuah kereta lain dari arah bertentangan dan pemandu treler gagal mengelak menyebabkan kenderaan berat itu merempuh kereta terbabit.

Akibat rempuhan itu, kereta mangsa terbabas dan masuk ke dalam longkang manakala mangsa Ng Ing Wui, 28, tersepit di tempat duduk.


ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Sarikei-Sibu, petang tadi. - Foto ihsan bomba **297613

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.36 petang.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei dikejarkan ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi pada jam 2.55 petang, anggota kami mendapati sebuah kereta terbalik dan remuk teruk di dalam longkang.

"Kami terpaksa meminta bantuan jengkaut untuk menarik kepala treler bagi membolehkan kami memotong kereta untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya.

Ling Hii berkata, anggota paramedik yang turut berada di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu serta kelindan treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

25 dibaca
Berita Harian X