Jumaat, 30 Jun 2017 | 6:32pm

2 maut motosikal bertembung 4x4

PARIT: Dua lelaki maut selepas motosikal dinaiki bertembung kenderaan pacuan empat roda (4x4) di Kilometer 32, Jalan Beruas-Ipoh di sini tengah hari tadi.

Dalam kemalangan jam 12.15 tengah hari itu, Muhammad Nor Hanizam Abd Karim, 16, dan Mohammad Sharul Hamid, 22 maut di tempat kejadian akibat terperosok di bawah kenderaan Mitsubishi Pajero itu.

Difahamkan, seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang menaiki pacuan empat roda itu turut cedera manakala pemandu dan lima lagi penumpang lain tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata Pajero dipandu lelaki berusia 36 tahun dalam perjalanan dari rumahnya di Batu Gajah menghala ke pekan Parit.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki kedua-dua mangsa yang datang dari arah bertentangan dipercayai terbabas di selekoh dan bertembung dengan 4X4 itu.

"Berikutan jarak terlalu dekat, pemandu gagal mengelak dan merempuh motosikal terbabit dari arah depan sehingga mengakibatkan motosikal berkenaan terperosok di bawah kenderaan itu.

"Penunggang dan pembonceng motosikal maut di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad Zainal berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. 

Berita Harian X