Jumaat, 30 Jun 2017 | 4:04pm

MBPP tukar 600 papan tanda kutipan SLK baharu


DATUK Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Patahiyah Ismail (dua dari kanan) merasmikan papan tanda baharu dan penyeragaman waktu kutipan letak kereta di The Light Cafe, Jalan Padang Kota Lama, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memasang 600 papan tanda Sistem Letak Kereta (SLK) baharu, selaras penyeragaman kutipan yang berkuat kuasa esok.

Datuk Bandar MBPP, Datuk Patahiyah Ismail, berkata pemasangan papan tanda baharu itu akan dibuat secara berperingkat.

"Sebanyak 600 papan tanda baharu digantikan untuk memaparkan maklumat ringkas kepada orang ramai.

"Ia termasuk penyeragaman waktu kutipan iaitu selepas jam 6 petang setiap Isnin hingga Jumaat, termasuk hari kelepasan am," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Difahamkan, waktu penyeragaman kutipan letak kereta baharu itu percuma bagi orang ramai yang meletakkan kenderaan di kawasan MBPP pada setiap hari Ahad.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira dua bulan bagi mengkaji semula jadual kutipan selain menunggu maklum balas orang ramai.

"Sejak melaksanakan SLK Bermeter dan SLK bertiket hingga ditukarkan kepada SLK berkupon pada 2014, waktu kawalan tidak diubah.

"Waktu kutipan baharu akan diseragamkan mulai esok," katanya.

Berita Harian X