Khamis, 29 Jun 2017 | 5:15pm

2 beradik lemas di Pantai Janglau


DUA beradik, Nur Nabilah Sharul Ami, 21 dan Ainur Huda Sharul Ami, 14 ditemui lemas ketika berkelah bersama keluarga sempena cuti Aidilfitri di Pantai Janglau. Ketika kejadian kedua mangsa sedang mandi bersama enam saudara mereka sebelum dihanyutkan arus ke Kuala Sungai Janglau ketika air laut pasang. Enam lagi berjaya diselamatkan manakala kedua-dua mangsa gagal diselamatkan. - Foto Ihsan Bomba Pahang

ROMPIN: Kegembiraan sebuah keluarga berkelah sempena cuti Aidilftiri bertukar tragedi apabila dua beradik perempuan lemas di Pantai Janglau, dekat sini, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Mangsa dikenali Nur Nabilah Sharul Ami, 21, dan Ainur Huda, 14, berasal dari Taman Murni, Parit Buntar, Perak.

Difahamkan ketika kejadian kedua mangsa sedang mandi bersama enam saudara mereka sebelum dihanyutkan arus ke kuala Sungai Janglau selepas air laut pasang.

Ahli keluarga mereka berjaya menyelamatkan enam yang hanyut menggunakan sampan di pantai itu manakala kedua mangsa gagal diselamatkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Penolong Penguasa Bomba, Amirul Naem Harun mengesahkan kejadian itu.

"Kami menerima panggilan pada jam 12.23 tengah hari yang memaklumkan kejadian itu.

"Mayat mereka dibawa ke Hospital Rompin dan siasatan lanjut dilakukan oleh polis," katanya.

Berita Harian X