Khamis, 29 Jun 2017 | 1:44pm

AirAsia X: Rolls-Royce siasat aspek penyelenggaraan enjin

KUALA LUMPUR: Pengeluar enjin jet, Rolls-Royce mengambil keputusan mengetuai penyiasatan merangkumi aspek penyelenggaraan enjin, susulan insiden pesawat AirAsia X, Ahad lalu.

Syarikat terkemuka yang berpangkalan di London, United Kingdom itu mengesahkan pemeriksaan awal mendapati detik cemas dialami juruterbang ketika mengendalikan pesawat Airbus 330 (A330) berkenaan berpunca daripada kerosakan enjin.

Sehubungan itu, katanya, Rolls-Royce menjalin kerjasama dengan rakannya dan pihak berkuasa berkaitan bagi memahami faktor sebenar sehingga mencetuskan masalah pada enjin Trent 700 yang digunakan pesawat terbabit.

"Sejak insiden yang dialami pesawat AirAsia X, iaitu D7237, Rolls-Royce bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan berkenaan dan beberapa pihak berkaitan bagi memahami keseluruhan masalah.

"Setakat ini, Rolls-Royce mengetuai penyiasatan aspek penyelenggaraan pesawat, menerusi perjanjian perkhidmatan penjagaan menyeluruh yang ditandatangani dengan AirAsia X.

"Ia adalah perkhidmatan tertinggi ditawarkan Rolls-Royce kepada mana-mana syarikat penerbangan, termasuk penerbangan tambang rendah seperti AirAsia X," katanya dalam satu kenyataan.

Enjin Trent 700 yang digunakan pesawat A330 sejak kebelakangan ini merekodkan pelbagai kes kerosakan, termasuk penerbangan China Eastern, MU736 dari Sydney ke Shanghai pada 12 Jun lalu.

Detik cemas dialami 297 penumpang itu dikatakan berpunca daripada retakan sehingga menyebabkan lubang besar pada bahagian 'nacelle', iaitu struktur yang menutup enjin jet pesawat.

Kelmarin, pesawat AirAsia X, D7237 dalam penerbangan dari Perth ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik ketika melintasi ruang udara Carnarvon, dekat perairan barat Australia selepas satu daripada dua enjinnya gagal berfungsi angkara bilah turbinnya tercabut.

Kes AirAsia X berkenaan hampir sama dengan pesawat Cathay Pacific yang mengalami kerosakan enjin keduanya sehingga terbakar ketika dalam penerbangan dari Singapura ke Jakarta pada 16 Mei 2001 lalu.

Pemeriksaan lanjut mendapati kebakaran tercetus disebabkan serpihan bilah sepanjang 130 milimeter yang terpatah, sekali gus berlaga dengan putaran turbin enjin Trent 7000 pesawat berkenaan.

Rolls-Royce menjelaskan, enjin Trent 700 merekodkan jualan terlaris setakat ini, menjangkau 1,500 unit yang digunakan dalam operasi membabitkan 81 syarikat di seluruh dunia.

Berita Harian X