Khamis, 29 Jun 2017 | 11:01am

Amira Othman kuat cemburu


PENYANYI, Amira Othman. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Amira Othman, 24, mengaku dirinya cerewet dan kuat cemburu.

Pernah menjalin hubungan cinta dengan Azhar iaitu bekas anggota kumpulan duo, Azhael, beberapa tahun lalu, Amira bagaimanapun menjelaskan sifat cemburunya itu 'bertempat'.

"Kalau nak kata saya ini kuat cemburu, boleh juga... tapi cemburu bertempatlah.

"Jadi orang lelaki kena faham dan bersabar dengan emosi saya," katanya kepada BH Online.

Ditanya apakah serik bercinta selepas hubungan dengan Azhar terlerai, Amira berkata: "Selepas putus cinta, tiada istilah serik berkasih dengan artis atau sesiapapun.

"Cuma kalau saya dipertemukan dengan sesiapa saja suatu hari nanti, dia perlu hormati keluarga terutama mama dan abah saya.

"Saya harap lelaki yang berjaya menambat hati nanti dapat meyakinkan diri ini bahawa dia benar-benar bersungguh untuk memiliki saya.

"Ketika ini, saya masih solo... kalau ada calon sesuai, beritahulah," katanya berseloroh.

Amira yang popular dengan lagu Jaga-Jaga, percaya sebagai wanita, dia berhak mendapat perhatian istimewa daripada lelaki.

Meletakkan sasaran berkahwin pada usia 27 atau 28 tahun, Amira memberitahu, dia tidak mahu berkawan terlalu lama.

"Saya takut kalau bercinta dalam tempoh lama, ia akan membuang masa saya dan lelaki terbabit. Saya tak mahu ulangi perkara sama ketika bercinta dulu," katanya.

Tambah Amira, dia perlu cerewet dalam memilih calon suami.

"Saya dilahirkan dalam keluarga yang mementingkan silaturahim. Ikatan ukhuwah saya dengan keluarga sangat kuat.

"Jadi saya nak lelaki terbabit rapat dengan keluarganya dan famili saya. Kita nak hidup dengan lelaki itu selama-lamanya, jadi kena cari yang terbaik," katanya.

49 dibaca
Berita Harian X