Rabu, 28 Jun 2017 | 5:38pm

Malaysia Airlines optimis prospek lebih baik


Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd, Peter Bellew.

PETALING JAYA: Malaysia Airlines Bhd mengunjurkan prospek pertumbuhan perniagaan lebih baik pada separuh kedua tahun ini, sekali gus berada dalam landasan kukuh mencapai sasaran kembali untung pada 2018.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew, berkata syarikat penerbangan nasional itu bekerja keras dalam melaksanakan strategi ditetapkan untuk memantapkan kedudukan kewangannya.

Beliau berkata, tumpuan Malaysia Airlines kini adalah memastikan perancangan dilaksanakan dengan jayanya

"Suku pertama dan suku kedua (tahun ini) adalah tempoh sukar bagi industri penerbangan di seluruh dunia. Kami melihat suku ketiga dan keempat lebih cerah," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Bellew yang dilantik pada 1 Julai 2016 berkata, syarikat penerbangan nasional itu mempunyai banyak perkara untuk dilaksanakan dalam beberapa bulan akan datang.

Katanya, pelan perniagaan syarikat kekal seperti ditetapkan dan pihaknya juga giat mengambil pekerja membabitkan bahagian teknologi maklumat (IT).

"Kami sangat fokus dalam apa yang dilakukan bagi memastikan kami mencapai sasaran kembali untung menjelang 2018," katanya.

Bellew berkata, pihaknya yang kini giat menambah laluan baharu ke China mengunjurkan untuk membawa 15 juta penumpang tahun ini.

Beliau berkata, setakat ini perniagaan berjalan lancar dan permintaan bagi penerbangan ke China amat memberangsangkan.

"Kami mendapat kerjasama baik daripada pihak berkuasa China. Kami melihat potensi pelancongan yang tinggi dari China ke negara ini pada masa depan," katanya.

Menyentuh potensi Malaysia Airlines membuka laluan baharu bagi Eropah, Bellew berkata, pihaknya akan berbuat demikian jika mendapat tawaran yang menarik.

Beliau berkata, struktur kos amat penting bagi laluan jarak jauh dan pihaknya hanya membuka laluan jarak jauh baharu jika mendapat struktur kos yang tepat untuk berbuat demikian.

"Saya tidak mahu Malaysia Airlines berdepan masalah untuk tempoh tiga hingga tahun akan datang berikutan struktur kos yang tidak mapan bagi laluan jarak jauh," katanya.

INFO

* Mempunyai lebih 100 pesawat di bawah kumpulan

* Malaysia Airlines membawa 40,000 penumpang setiap hari

* Khazanah Nasional Bhd adalah pemegang saham tunggal Malaysia Airlines

Berita Harian X