Rabu, 28 Jun 2017 | 3:23pm
Anggota Trafik membuat pemeriksaan pada kenderaan semasa Ops Selamat 11/2017 di Hentian Rawat dan Rehat (RNR), Ajil. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Ops Selamat 11: 10,034 saman di Terengganu


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), ASP Ismail Man (tengah) memeriksa kenderaan yang menampal pelekat hitam pada salah satu huruf no pendaftaran bagi mengelak identiti no kenderaan dikesan perangkap had laju semasa Ops Selamat 11/2017 di Hentian Rawat dan Rehat (RNR), Ajil hari ini. - Foto NSTP/Ghazali Kori

KUALA BERANG: Polis Terengganu mengeluarkan 10,034 saman membabitkan pelbagai kesalahan, termasuk melebihi had laju dalam Ops Selamat 11, sehingga tengah hari ini.

Ops Selamat 11, yang diadakan sempena Hari Raya Aidilfitri, bermula 18 Jun lalu dan akan berakhir 2 Julai ini.

Dalam Ops Perangkap Had Laju, dari jam 10.30 pagi hingga 1 tengah hari tadi, 211 saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan kepada pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Operasi tiga jam itu membabitkan kekuatan anggota dan pegawai seramai 23 orang, termasuk seorang pegawai dan tiga anggota Subtek Trafik Bukit Aman.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Asisten Superintendan Ismail Man, berkata daripada 211 saman yang dikeluarkan, polis mengeluarkan sebanyak 173 saman had laju dan 38 saman pelbagai kesalahan, antaranya 31 saman kerana nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

"Selain itu, masing-masing dua saman kerana lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh dan satu saman masing-masing kerana tidak memakai tali pinggang keledar, tiada cermin sisi dan ubah suai kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ops Selamat 11 di Hentian Rawat dan Rehat (RnR) Ajil (menghala ke Kuala Lumpur).

Berita Harian X