Rabu, 28 Jun 2017 | 11:23am
Kereta dinaiki mangsa remuk dalam kemalangan itu. - Foto NSTP
Mayat mangsa dibawa keluar anggota bomba dari kereta yang remuk teruk.- Foto NSTP

1 maut, 6 parah dalam kemalangan tiga kenderaan

GUA MUSANG: Seorang maut dan enam parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 42 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat FELDA Chiku 3, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, Mohamad Syahrul Rizal Che Ramli, 16, maut di tempat kejadian selepas kereta PROTON Wira yang dinaiki bersama tiga rakannya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan, lalu bertembung dengan dua kenderaan lain.

Akibat pertembungan itu, tiga rakannya, Afizi Nordin, 20; Mohamad Azamudin Mohamed, 20 dan Wan Rafiuddin Wan Razali, 19, parah.

Tiga beranak yang menaiki kereta PROTON Iswara iaitu Haizan Hasmi, 47; Noriza Ab Azi, 46 dan Mohamad Alif Haikal Harizan, 14, juga parah.

Sementara itu, tiga beranak yang menaiki kereta Honda City iaitu Mohd Daud Abd Halim, 29; isterinya, Nur Ain Safini, 29 dan seorang anak perempuan mereka, Nur Ain Amni Mohd Daud, 2, terselamat.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang membantu mengeluarkan mangsa tersepit dalam kenderaan berkenaan.

Beliau berkata, kereta PROTON Wira dinaiki mangsa dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang melalui lopak air menyebabkannya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

"Jenazah mangsa yang maut di tempat kejadian akibat cedera parah dikepala dan badan dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat.

"Mangsa yang parah dihantar ke Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk rawatan sebelum dirujuk ke hospital sama," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kemalangan maut itu adalah yang pertama di Jalan Gua Musang - Kuala Krai dalam tempoh Operasi Selamat musim perayaan bermula 18 Jun hingga 2 Julai.

Kes itu disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X