Rabu, 28 Jun 2017 | 10:58am

Rindu cium tangan umi, abah pagi raya

BACHOK: Tiada lagi saat mencium tangan umi dan abah pada pagi Aidilfitri, sebaliknya saya hanya mampu menyentuh nisan pusara mereka," rintih Wan Muhammad Hazim Wan Mohd Fauzi, yang kehilangan semua ahli keluarganya dalam kemalangan jalan raya pada 11 Jun lalu.


WAN Muhammad Hazim menziarahi kubur enam ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Seberang Jelawat, Bachok, selepas selesai solat sunat Aidilfitri, Ahad lalu. -Foto ihsan Wan Muhammad Hazim

Dalam tragedi itu, remaja terbabit kehilangan bapa, Wan Mohd Fauzi Wan Ibrahim, 51; ibunya, Masnoraida M Yusof, 45; serta adik-beradik, Wan Muhammad Muhaimin, 22; Wan Nor Athirah, 18; Wan Mohd Amar Haziq,13; dan Wan Nor Alisya, 7, rentung bersama selepas kenderaan keluarga itu terbabit nahas di Kilometer 25 Jalan Keratong-Bahau dekat Jempol, Negeri Sembilan.

Wan Muhammad Hazim, 19, berkata dia hanya membeli sehelai baju Melayu berwarna merah dua hari sebelum sambutan Aidilfitri, sebagai memenuhi permintaan arwah ibunya yang mahu tema warna sama tahun ini.

"Saya rasa sunyi, tiada kuih raya dan paling saya rindu, bihun goreng yang menjadi masakan wajib umi setiap kali 1 Syawal," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Pak Amin, Jelawat, di sini.

Pada 11 Jun lalu, lapan mangsa, termasuk enam ahli keluarga Muhammad Hazim terbunuh dalam nahas membabitkan empat kenderaan itu, dipercayai berpunca daripada pemandu treler dari arah Keratong, yang terbabas ke lorong bertentangan.

Proton Exora dinaiki keluarga terbabit rentung terbakar selepas dihempap treler terbabit. Dua lagi kenderaan iaitu Perodua Myvi dan Toyota Vios, turut terbabit dalam kemalangan itu, menyebabkan sepasang suami isteri turut terbunuh, meninggalkan anak mereka cedera parah.

Muhammad Hazim berkata, pada Aidilfitri ini, dia hanya meluangkan masa menziarahi pusara ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Seberang Jelawat di sini.

Anak kedua daripada lima beradik itu, berkata biasanya, jika pagi raya, dia dan ahli keluarga akan menziarah rumah saudara-mara sehingga malam, namun kali ini dia bersendirian menziarahi dua rumah saudara yang tinggal berhampiran di Jelawat.

Katanya, selain rindu telatah ahli keluarga ketika berhari raya, dia sering teringatkan arwah adik bongsunya, Alisya, setiap jam 12.30 tengah hari kerana waktu itu biasanya dia menjemput adiknya dari Sekolah Kebangsaan Presint 9(1) Putrajaya.

"Sudah hampir dua minggu mereka meninggalkan saya. Setiap kali rindu, saya akan menatap gambar keluarga yang kini tinggal kenangan.

"Kalau memikirkan apa yang terjadi, saya rasa macam nak pengsan. Namun, saya perlu tabah dan kuat untuk selesaikan segala urusan yang berkaitan di Putrajaya, sebelum pulang menetap di Kelantan," katanya.

31 dibaca
Berita Harian X