Selasa, 27 Jun 2017 | 3:32pm

Laksana projek tebatan banjir di Alor Gajah


Yang di-Pertua negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob (dua dari kanan) beramah mesra bersama tetamu yang hadir sambil diperhatikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman (kiri) pada Majlis Rumah Terbuka ADUN Sungai Rambai di Kampung Parit Perawas, Sungai Rambai. - Foto NSTP/ RASUL AZLI SAMAD

JASIN: Melaka menerima peruntukan RM30 juta bagi menaik taraf projek tebatan banjir di Gadek, Alor Gajah.

EXCO Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abd Rahman, berkata peruntukan Kerajaan Persekutuan itu akan digunakan bagi pembinaan kolam tadahan air menjelang akhir tahun ini.

"Peruntukan ini memberi keutamaan projek di Gadek dan kita harap ia dapat menyelesaikan masalah banjir di kawasan berhampiran seperti Durian Tunggal.

"Jika tidak, kita terpaksa memohon peruntukan baharu bagi membina dua kolam tadahan di Durian Tunggal.

"Kolam tadahan ini berupaya menampung air limpahan apabila hujan kerana ia pernah dilaksanakan di Parit Penghulu di Sungai Rambai, Jasin dan berkesan sehingga kini," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Parit Perawas di sini, hari ini.

Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, berkata pihaknya mengenal pasti beberapa sungai di Alor Gajah sebagai punca banjir di Durian Tunggal, semalam.

"Kita merangka beberapa perancangan termasuk pengambilan tanah penduduk bagi kerja pelebaran sungai dalam menangani masalah ini, selain mendalamkan sungai namun ia tidak dapat menampung limpahan air hujan," katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Banjir negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, berkata sehingga jam 2 petang hari ini, seramai 154 mangsa membabitkan 58 orang di Alor Gajah dan 96 orang di Jasin masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Satu daripada empat PPS iaitu Balai Raya Bukit Tambun ditutup pada jam 12 tengah hari tadi, manakala Balai Raya Bukit Balai, Balai Raya Kampung Pulau di Alor Gajah dan Sekolah Kebangsaan Tehel di Jasin masih dibuka," katanya.

Berita Harian X