Selasa, 27 Jun 2017 | 2:00pm
BUTTERWORTH 27 JUNE 2017.Tinjauan mendapati longgokan sampah dibiar penuh dan berbau busuk di kawasan persekitaran di Taman Selayan Indah, Sungai Puyu, Pulau Pinang. NSTP/RAMDZAN MASIAM RAMDZAN MASIAM

ADUN PKR akui sampah musim perayaan gagal diurus


BUTTERWORTH 27 JUNE 2017.Tinjauan mendapati longgokan sampah dibiar penuh dan berbau busuk di kawasan persekitaran di Permatang Tok Bidan, Sunga Dua, Pulau Pinang. NSTP/RAMDZAN MASIAMRAMDZAN MASIAM

BUTTERWORTH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti daripada PKR, Dr Norlela Ariffin, mengakui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) gagal menyelesaikan masalah longgokan sampah khususnya ketika sambutan Aidilfiri.

Norlela berkata, keadaan itu kerap berulang walaupun sudah banyak laporan dan maklum balas mengenai masalah terbabit dikemukakan kepada MPSP.

"Saya sendiri sudah panjangkan setiap laporan dan maklum balas penduduk setempat mengenai perkara ini kepada MPSP, tetapi ia masih gagal diselesaikan.

"Malah, ada beberapa kawasan mengalami masalah longgokan sampah teruk hingga memaksa penduduk membakar sampah berkenaan bagi mengurangkan pencemaran bau serta mengelak kehadiran lalat dan tikus," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Semalam, BH melaporkan penduduk beberapa kawasan sekitar daerah Seberang Perai kecewa apabila MPSP gagal menyelesaikan masalah longgokan sampah khususnya ketika sambutan Aidilfitri.

Sementara itu, Setiausaha MPSP, Rozali Mohamud, ketika dihubungi menegur tindakan penduduk setempat yang didakwa gemar menghasilkan sampah dalam kuantiti yang banyak ketika musim perayaan.

"MPSP bukannya tak kutip sampah, sebaliknya sisa buangan yang dihasilkan isi rumah adalah lebih tinggi berbanding biasa.

"Kita juga tambah kekerapan kutipan pada Aidilfitri pertama dan kedua.

"Kontraktor diarah untuk kutip sampah bermula jam 1 tengah hari hingga selesai pada Aidilfitri pertama dan kedua, manakala jadual kutipan kembali seperti biasa mulai hari ini.

"Justeru, saya nasihatkan penduduk supaya kawal penghasilan sampah di tempat masing-masing," katanya.

Berita Harian X