Isnin, 26 Jun 2017 | 10:36pm

Mark Adam seronok sertai acara marhaban

Penyanyi, Mark Adam dan isteri Norazah Redzuan semasa sidang media tayangan HBO The Secret Life of Pets dalam Bahasa Malaysia untuk Hari Raya di Hotel St Regist, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Mark Adam, 38, mengakui antara detik yang ditunggu-tunggu sepanjang Syawal adalah menyertai marhaban beramai-ramai dari rumah ke rumah.

Katanya, suasana di kampung keluarga mentuanya di Selayang meriah menjelang 1 Syawal apabila masih kental dengan tradisi walaupun lokasinya di tengah-tengah ibu negara.

"Saya bertuah dapat merasai pengalaman takbir raya dan marhaban sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pengalaman itu sesuatu yang indah dan menyeronokkan.

"Menerusi aktiviti yang menjadi tradisi di sana, semua penduduk bergaul dengan mesra sekali gus mengeratkan hubungan sesama jiran," katanya yang sudah menyambut Ramadan dan Syawal sejak 15 tahun lalu.

Mengenang pengalaman berhari raya kali pertama, katanya, beliau membeli baju Melayu berharga kira-kira RM20 untuk berkunjung ke rumah isterinya, Norazah Redzuan, yang ketika itu masih bergelar kekasih hati.

Menaiki bas untuk ke pasar raya berhampiran Pasar Seni, di sini, sebelum menuju ke Subang, Mark mengakui dirinya menarik nafas lega apabila seisi keluarga wanita pujaannya menerima kunjungan itu dengan hati terbuka.

"Sebenarnya, itulah kali pertama saya berjumpa keluarga Izan (Norazah). Mereka menyambut saya dengan mesra dan menghidangkan juadah yang lazat. Detik itu saya kenang sampai sekarang," katanya yang mendirikan rumah tangga bersama Norazah pada 2003.

Berita Harian X